Thursday, April 12, 2007

Selamat Hari Lahir Ibuku Sayang...


Tanggal 10 April 1956 - Telah lahir seorang insan ke dunia ini, suci daripada segala debu dosa dan noda. Insan itu membesar dalam lingkungan keluarga yang susah. Menjual kuih, membanting padi, demi untuk mendapat sesuap nasi, adalah rutin harian yang tidak pernah dikesalkan. Dengan kesusahan itu, beliau membesar sebagai insan yang punya jati diri yang amat kental, prinsip hidup yang tidak mudah goyah, serta kesabaran yang amat tinggi.

Insan itu adalah ibunda saya yang tercinta. Sehingga saat ini, menitis air mata saya setiap kali mengenangkan pengorbanan yang beliau curahkan, sehingga saya menjadi diri saya pada hari ini. Allah maha mengetahui betapa penat lelah, jerih payah yang beliau limpahkan, sedari melahirkan saya (kelahiran yang paling susah berbanding yang lain), bersabar dalam mendidik dan membesarkan saya sehingga saya mampu menggapai cita di awan tinggi. Semuanya itu adalah mustahil melainkan dengan hadirnya rasa KASIH SAYANG yang amat mendalam dan bermakna. Benar, harga kasih sayang itu, tidak mampu saya balas meskipun saya bisa menghulurkan cek berjumlah satu juta kepadanya.

Terlalu banyak yang telah ibu ajarkan kepada saya tentang kehidupan ini.. Bahawa ketenangan hidup itu letaknya pada keberkatan Tuhan..Biarpun kita tidak bergaji besar..Asalkan kita menunaikan hak pada kedua ibu bapa..Rapatkan diri dengan Allah..Seandainya kita menjaga Dia, maka pastinya Dia akan menjaga kita..Hidup ini jangan sesekali dibiarkan kosong daripada ilmu dan pengajian..Takut kita akan terlalu disibukkan dengan dunia...sehingga lupa pada akhirat..Kata-kata itu, biarpun mudah dan ringkas, tetapi amat berkesan lantaran ia lahir daripada hati yang dalam, penuh dengan sifat kasih dan sayang..

Dan hari ini, saya berasa amat bersalah kerana membiarkan beliau bersendirian di rumah, tanpa dapat menemani kekosongan hari-harinya...Saya berasa amat bersalah kerana membiarkan beliau merindui anak-anaknya yang jauh di perantauan. Kejayaan saya nanti, terlalu kecil untuk membayar harga setitis susu ibunda yang diberikannya dengan sepenuh kasih sayang. Namun, seandainya kejayaan itu bisa membuahkan sedikit rasa kegembiraan dalam hatinya, maka saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Moga penat lelah pengorbanan ibu selama ini tidak sia-sia...

Ibu, anakmu ini seakan tidak sanggup membiarkan dirimu kesunyian lagi..tidak sanggup melihat hatimu terluka lagi..duka semalam, biarkan ia berlalu jauh dari tirai kehidupanmu..Akan kujagamu sepertimana dikau membelaiku sejak kecil..Ya Allah, engkau maha mengetahui betapa aku bersyukur dikurniakan anugerah tidak ternilai ini...Aku mengenali sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim - Mu melalui kasih sayang ibu kepadaku...Tiada hadiah yang lebih besar mampu ku berikan selain menjadi anak yang taat kepadamu ibu...Selamat Hari Lahir..


Buatmu Ibu

Ibu.. bergenang airmataku
Terbayang wajahmu yang redup sayu
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan
Bagaikan laut yang tak bertepian

Biarpun kepahitan telah engkau rasakan
Tidak pun kau merasa jemu
Mengasuh dan mendidik kami semua anakmu
Dari kecil hingga dewasa

Hidupmu kau korbankan
Biarpun dirimu telah terkorban
Tak dapat ku balasi
Akan semua ini
Semoga Tuhan membekati kehidupanmu ibu..

Ibu.. kau ampunilah dosaku
Andainya pernah menghiris hatimu
Restumu yang amat aku harapkan
Kerana di situ letak syurgaku

Tabahnya melayani kenakalan anakmu
Mengajarku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan

Kasih sayangmu sungguh bernilai
Itulah harta yang kau berikan

Ibu.. kau ampunilah dosaku
Andainya pernah menghiris hatimu
Restumu yang amat aku harapkan
Kerana di situ letaknya syurgaku

Tabahnya melayani kenakalan anakmu
Mengajarku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan

Kasihanilah, Tuhan..
Ibu yang telah melahirkan diriku
Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku
Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana
Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana


p/s: Lagu ini pernah saya nyanyikan kepada ibu di dalam telefon suatu ketika dulu. Saya amat merindui saat itu.."Pulanglah" wahai anak-anak yang telah "jauh" ke pangkuan ibu mu yang sentiasa menunggu...

No comments: