Friday, October 24, 2008

Personality Type..

The Popular Sanguine








A piece of humble share...


I learnt about different human personality characteristics based on personality profile test conducted in one of our Enme 450 (Industrial Management) classes. I found this quite useful especially in understanding ourself and people around us. It is vital to acknowledge people with different personality traits so that we won't easily get hurt and in return, treat others the way they supposed to be treated. Basically, human are divided into 4 main categories, namely Popular Sanguine, Perfect Melancholy, Powerful Choleric and Peaceful Phlegmatic.




Popular Sanguine, or also known as "the talker", can be described in terms of emotion by having appealing personality, storyteller, good on stage, always a child, sincere at heart, curious, emotional and demonstrative, wide-eyed and innocent, changeable disposition, have good sense of humour as well as memory for colour. In work, they volunteer for jobs, creative and colourful, charm others to work, think up new activities, look great on the surface, start in a flasy way and so forth. They make friends easily, love people, seem exciting, envied by others, prevent dull moments, thrive on compliments, don't hold grudges, apologize quickly and like spontaneous activities.


However, on the other side, they can be compulsive talker, exaggerate and over elaborate, egotistical, controlled by circumstances, too happy for some, seem phony to some people, have restless energy, get angry easily and never grow up. During work, they would rather talk, forget obligations, undisciplined, their confidence fades fast, priorities out of order, easily distracted and decide things by feelings. They hate to be alone, need to be center stage, want to be popular, dominate conversations, fickle and forgetful, make excuses and repeat stories.


I'll explain about the remaining characteristics later. Nevertheless, the diagram shows the interaction between all the personality traits...


Having said that different people have unique personality, I come to recall verse 13 of surah 49 (Al Hujuraat) in which Allah said:

"O mankind! We have created you from a male and a female, and made you into nations and tribes that you may know one another. Verily, the most honorable of you with Allah is that (believer) who has At-Taqwa. Verily, Allah is All-Knowing, All-Aware."

It is indeed, human kind are different. However, what makes us better on top of the other is nothing but our TAQWA (Piety).

Wednesday, October 22, 2008

Delusi Ummi

Kala ini, saya sering mendengar lagu ini berulangkali...melankoli benar alunan iramanya...membuat hati sering teringat pada bonda yang jauh di mata...selamat membuat persiapan untuk menyambut peperiksaan buat semua..

Delusi Ummi


Delusi Ummi.wma - NICE


Album : Istimewa Tiada Dua
Munsyid : Nice
http://liriknasyid.com


Kau sentuh cahaya dengan jemari mu
Dibalik tabir mimpi di raungan merindu
Mengimbas figura di kesumba senja
Tak siapa mendengar ratap hati bonda
Di hadap ranumnya kasih yang manis bermadu
Mengapa kau hanya mengunyah pahit hempedu

Ummi engkau berdelusi
Impian ilusi
Mimpi jadi ngeri mengusik dinihari
Ummi engkau kehampaan
Dambaan igauan janji hanya mainan
Gurauan di bibir kau kutip jadi sandaran

Keperitan itu teman mu yang sejati
Di hujungnya bahgia menanti
Bersama harapan dan pengorbanan diri
Terus berbakti

Resahmu sembunyi dalam riuh ketawa
Sebak dada tidak ketara
Tenangnya wajah tabah kau hadapi
Kerana kau yakin Tuhan lebih mengasihi

Ummi…

Sunday, June 22, 2008

Bilakah saatnya paling manis bercinta?

Jawapannya:

Bila sudah diijabkabulkan.

Kenapa?

Kerana bercinta di kala itu mengundang pahala, pencinta tidak perlu risau akan dosa kerana hubungan antara dua manusia itu sudah halal jadinya. Berbanding sebelumnya, walau 1001 kali setiap saat pencinta menyatakan bahawa cintanya suci, hakikatnya..hakikat yang tidak dapat dinafikannya, cinta di kala itu jika salah langkahnya mengundang dosa. Apakah sesuatu yang suci itu harus disulami dengan dosa?

Pencinta perlu ingat, sebelum ada ikatan yang sah, 1001 kemungkinan pencinta mungkin mengambil kesempatan terhadap sesama pencinta. Pencinta kemungkinan mencemari sesama pencinta lantaran tiada ikatan pertanggungjawaban yang nyata di kala itu. Habis madu sepah dibuang. Habis dipegang parut ditinggalkan.

Berbanding pencinta yang mempunyai ikatan pertanggujawaban yang sah, jika luka diubati sembuh, jika retak ditunggu teguh, jika murung sama-sama diharung, jika beban sama-sama ditanggung. Alangkah manisnya cinta di kala itu.

Pencinta perlu ingat, pencinta bergelar lelaki mungkin suka mengambil kesempatan tetapi mungkinkah mereka sanggup bertemankan hidup pencinta wanita yang pernah diambil kesempatan pencinta lelaki lain? Fikirkan….bukan salah berkawan tetapi jadikanlah agama sebagai panduan…..kerana agamalah kita dipanggil insan, sedang makhluk yang tidak berpandukan agama biasanya dikaitkan dengan haiwan.

Ambilah nasihat ini bukan atas dasar ianya datang dari seorang lelaki tetapi atas dasar datang dari seorang yang juga mempunyai ibu, kakak, adik, dan paling penting kerana datang dari sesama Islam.


Sekali lagi pertanyaan…….bilakah saatnya paling manis bercinta?….tepuk dada tanyalah iman.

Wallahu’alam.

Saturday, June 21, 2008

Teguran ini kerana kasih di hati..

“Aduhai….” Keluh hati ini resah. Rasa gundah yang diselaputi kecewa yang teramat sangat, bagai menyelubungi segenap sudut hidup yang kian menyempit saban hari. Harapkan pagar, pagar makan padi.

Kebelakangan ini saya sering dihujani berita-berita yang seakan-akan membuatkan gugur jantung saya apabila mendengarnya. Apa sudah jadi dengan kalian semua? Adakah sampai ke luar Negara ini mejadi lesen untuk kalian berbuat sesuka hati tanpa berfikir bahawa ada Tuhan yang sentiasa melihat dan memerhati? Tidakkah kalian punya rasa takut di dalam hati walau secebis, akan azab dan siksa akibat murka Allah kepada semua maksiat yang dilakukan? Ke manakah semua ilmu agama yang ditimba, jika tidak di dalam usrah, ketika belajar di sekolah dan pusat persediaan terdahulu?

Masalah pergaulan atau lebih senang saya sebutkan sebagai bercouple ini semakin membimbangkan saya akhir-akhir ini. Banyak sekali cerita panas yang menyesakkan dada sehingga mahu sahaja saya ‘membasuh’ seorang demi seorang para pelakunya.

Berdua – duaan di dalam bilik untuk sekian tempoh waktu yang lama, berjalan ke sana ke mari berhari-hari lamanya hanya berdua, dan segala macam maksiat lagi yang tidak sanggup saya ungkapkan di sini, sudah menjadi seolah-olah suatu kebiasaan diterima, lantaran tiada siapa yang menegahnya.

Saya bukanlah seorang mufti, tidak pula berhajat untuk mengeluarkan sebarang fatwa mahu pun hukum. Tetapi ingatlah, bahawa segala perbuatan itu jelas haram hukumnya. Apabila seorang lelaki berdua-duaan di tempat sunyi dengan perempuan bukan mahramnya, pasti dan PASTI! syaitan adalah yang ketiga. Dan syaitan itu tidak menunggu untuk melihat latar belakang anda, sama ada anda pernah mendapat didikan agama atau tidak. Sama sahaja hasutannya.

Terkadang saya pelik akan trend masa kini. ‘Declare’ itu seolah-olah suatu tiket untuk menghalalkan yang haram di sisi agama. Tidak hairan, ramai yang berubah kerana hubungan ini. Kalau dahulu, masuk waktu solat berusah-payah mengharungi sejuk malam untuk ke surau, namun kini, bersusah payah pula untuk menemani perempuannya berjalan entah ke mana. Senang benar manusia ini berubah kerana cinta.

Kalau di tanah air, saya pasti kita tidak berani bertindak seperti ini. Tetapi di sini tiada 'ibu' atau 'abah' untuk memantau setiap pergerakan kita. Yang ada cuma rakan-rakan yang hanya mampu melihat dan membiarkan sahaja kita dengan dunia kita sendiri. Tidak kasihan kah kita kepada ibu bapa yang membesarkan kita selama ini, andai mereka tahu siapa kita yang sebenarnya di sini? Mahukah kita di suatu masa melihat anak-anak kita memperlakukan kepada kita sebagai mana kita memperlakukannya kepada ibu bapa kita saat ini?

Saya faham perasaan fitrah antara lelaki dan wanita. Fitrah itu suci, tidak perlu dikotorkan oleh perbuatan yang sumbang. Ada yang merasakan bahawa di peringkat ini kita perlu menyelami hati masing-masing, mengenali hati budi, agar apabila ditakdirkan bernikah nanti, mudahlah untuk melayar bahtera. Saya tidak pasti dari mana teori ini diperolehi, tetapi ingatlah, yang menyatukan hati itu bukan kuasa kita. Itu hak mutlak ALLAH swt. Dia bisa membolak-balikkan hati dengan sekelip mata. Jika kita berani untuk membelakangkan Tuhan semata-mata untuk menyatukan hati kita dengan si dia, ketahuilah bahawa di sana kemurkaan Allah lebih besar untuk kita takuti.

Andai semua yang indah ingin dinikmati sekarang, andai semuanya ingin 'diberikan' sebelum benar-benar berada di dalam ikatan yang halal, saya khuatir tiada apa lagi yang tinggal selepas memasuki gerbang perkahwinan. Habis madu sepah dibuang. Saya juga khuatir apa yang hanya akan dilihat nanti hanyalah 'rupa' pasangan masing-masing yang sebenar. Kala itu mahu menyesal pun sudah terlambat.

Untuk para lelaki, ingatlah bahawa kita pastinya inginkan pasangan yang solehah. Justeru kita mestilah berusaha untuk menjadi soleh terlebih dahulu, lantaran Allah telah menetapkan dalam firman Nya bahawa lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Andai kita berani melanggar batas syariat dalam pergaulan sebelum berkahwin, tidak mustahil kita akan lebih berani daripada itu selepas berumahtangga nanti. Sanggupkah kita melihat saudara perempuan kita diperlakukan seperti itu oleh lelaki lain? Jika tidak sanggup, maka cubalah kita pelihara diri sebaik-baiknya, kerana sesungguhnya wanita itu juga mempunyai saudara lelaki, dan keluarga yang tidak mahu dia diperlakukan sebegitu rupa. Biarlah kita berkorban menahan nafsu saat ini, agar masa depan yang dibina nanti bisa mengecap nikmat bahagia yang hakiki.

Untuk para wanita, sedarlah bahawa si lelaki itu akan mencari yang baik-baik sahaja untuk dijadikan calon isteri, meskipun hidupnya seharian penuh dengan perempuan yang berbagai-bagai ragamnya di sekeliling pinggang. Janganlah mudah rasa terpedaya dengan kata-kata lembut dan manis memujuk rayu. Allah menciptakan wanita dengan sepenuh keindahan, sesuai dengan gelarannya sebagai hiasan dunia. Keindahan itu selayaknya diperuntukkan buat seseorang yang bergelar suami yang sah. Bukan suami cubaan atau suami training. Namun, andai kurnia ini digunakan demi untuk memuaskan nafsu, wanita juga bisa menjadi fitnah paling utama buat insan bernama lelaki.

Ingatlah bahawa dalam hidup ini, tiada apa yang terlebih penting selain daripada mendapat keberkatan Allah dalam segenap pekerjaan yang kita lakukan. Dengan keberkatan itu hati akan terasa tenang dan damai. Nikmat ketenangan ini tidak mampu sama sekali dibeli oleh baki akaun yang beratusan ribu, mahu pun pangkat serta jawatan yang tinggi. Dan sifirnya mudah sahaja. Keberkatan ini akan diperoleh jika kita benar-benar ikhlas dalam taat kepada Allah. Taat di sini bererti melakukan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Sedarlah bahawa gelaran kita di dunia ini tidak lebih daripada sekadar HAMBA. Apabila Allah memerintahkan supaya jangan mendekati (bukan sekadar melakukan) zina, ketahuilah bahawa larangan itu bukanlah untuk menyukarkan hidup kita, malah memberikan hikmah Ilahiyah yang terpancar di sebaliknya seribu kebaikan. Akal kita yang terhad mungkin tidak mampu menyelak tabir hikmah itu, namun percayalah, bahawa sesungguhnya ia adalah yang TERBAIK untuk kita. Dia yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia Maha Mengetahui segala-galanya.

Saya menulis ini sebagai suatu peringatan buat diri sendiri dan mereka yang tanpa rasa bersalah melakukan maksiat melanggar perintah Allah. Saya tiada kuasa seperti jabatan agama untuk membuat serbuan, apa yang termampu hanyalah melalui ucapan dan penulisan. Dan di sini saya ingin menyatakan bahawa saya membenci perbuatan-perbuatan sumbang ini dengan sepenuh kebencian, lantaran ianya adalah maksiat yang mengundang murka Allah. Sedarlah bahawa kita akan mati, segala amal perbuatan kita akan dihisab, yang baik mahu pun sebaliknya, tiada satu pun akan terlepas. Saya tidak pasti apakah saya mampu untuk menjawab soalan-soalan di hari pengadilan di hadapan Allah swt nanti. Moga amal ini diterimanya..Buat akhirnya, sedarlah wahai yang mempunyai mata, telinga, akal dan hati….

Pohon ampun dan maaf andai banyak hati yang terasa dan terluka. Bukan bermaksud menyalakan bara permusuhan, namun teguran ini lantaran rasa kasih dan sayang sesama saudara seIslam, yang mahukan kita semua hidup di dalam redhaNya Yang Maha Penyayang...


Tuesday, May 06, 2008

Tuhan. izinkan diri ini untuk beramal..


Minggu ini adalah minggu pertama ‘winter’ untuk tahun ini. Sejuk benar rasanya berbanding tahun-tahun sudah. Sepanjang perjalanan saya ke universiti kira-kira jam 8.50 pagi tadi, saya mendapati lapisan frost yang menyelimuti padang rumput sedang mencair dimamah cahaya mentari. Damai. Indah panorama ini diserikan lagi dengan taburan daun-daun kekuningan yang berguguran sepanjang musim luruh yang baru sahaja berakhir. Ah, terasa benar kebesaran Allah yang Maha Berkuasa mencipta alam semesta yang penuh dengan keindahan ini. Alhamdulillah.

Tenang fatamorgana ini sedikit sebanyak mengubati resah saya sejak akhir-akhir ini. Entah mengapa saya pun tidak tahu akan puncanya. Barangkali mungkin hanya cebisan beberapa masalah kecil yang semakin lama menimbun hingga memenuhkan kotak pemikiran saya yang kian sempit ini.

Mungkinkah saya merasa keseorangan? Atau mungkinkah saya belum begitu efisyen dalam mengatur segala tugas dan kewajipan, hingga merasakan bagai tiada siapa di sisi untuk menemani, buat memberi semangat dan kekuatan pada diri untuk terus berlari? Entahlah, saya masih berkira-kira mencari formula untuk menyelesaikannya hingga saat ini.

Hal ini membuatkan saya terfikir akan pengajaran daripada surah al-Fajr yang dibincangkan dalam pertemuan ‘kami’ minggu lalu. Seolah-olahnya surah ini diatur untuk saya fahami sesuai dengan ketika saya memerlukannya. Surah ini dimulakan dengan ‘setting’ unsur-unsur alam yang amat mendamaikan jiwa mereka yang menghayatinya. Waktu awal pagi dan waktu malam adalah dua ketika yang amat tenang, memberi kesegaran dan kerehatan maksimum, sesuai dengan runtunan tubuh badan kita.

Penggunaan unsur alam semesta ini sebenarnya memberikan kekuatan kepada Rasulullah untuk terus berdakwah, di sebalik mehnah yang dilancarkan oleh kaum Musyrikin ketika itu.

Ada apa dengan alam semesta?

Sebenarnya Allah mahu menunjukkan kepada kita bahawa wujudnya suatu hubungan yang sangat harmoni antara manusia dan seluruh makhluk di semesta ini yang memberikan kekuatan, ketenangan dan kebebasan yang hakiki. Hubungan ini jika diperhati dengan teliti, adalah hubungan yang sangat unik, lantaran semua makhluk di semesta ini sentiasa bertasbih kepada Allah. Apabila Allah berfirman bahawa “Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang”, mengingati Allah itu tidak disempitkan hanya dengan ibadah khusus, bahkan juga dengan melihat sesuatu yang sentiasa taat kepadaNya juga, hati bisa menjadi tenang!

Kerana itu, saya mendapati ramai di kalangan rakyat tempatan di bumi Kiwi ini banyak menghabiskan masa menikmati keindahan alam semulajadi yang tersergam indah, biarpun terpaksa berbelanja besar untuknya. Namakan sahaja sebarang aktiviti seperti skiing, snowboarding, camping, sailing, kayaking, bahkan banyak lagi, seolah-olah sudah menjadi ‘trend’ bagi mereka di sini melepaskan diri daripada tekanan yang pelbagai punca. Ini kerana apabila melihat alam semula jadi, mereka melihat ‘ketenangan’ ada di situ, yang memberikan kerehatan dan kebebasan dari segala sesak minda sepanjang minggu bekerja.

Justeru unsur alam semesta ini menjadi sumber kekuatan atau ‘charger’ tatkala lemahnya semangat dan iman dalam diri. Begitulah indahnya tarbiyah Allah kepada rasulNya yang tercinta; tatkala merasa tiada siapa di sisi untuk menemani, Allah menghadiahkan seluruh alam buat kekasihNya supaya tidak lagi berduka. Bagaikan menghembuskan kata-kata indah bahawa alam semesta sentiasa bersamamu menegakkan tanggungjawab dakwah di muka bumi ini.

Hal ini membuat saya berasa lega. Pandangan saya terhadap alam sekililing kala ini bukan lagi sekadar pandangan kosong, tetapi penuh dengan pengamatan dan ‘penyatuan’ rasa kehambaan kepada Allah.

Saya teringat kata-kata Dr Muhammad dalam kuliahnya ketika Brothers Camp beberapa bulan lalu; dua orang boleh melakukan perkara yang sama, tetapi dengan niat yang berbeza yang akhirnya akan menatijahkan hasil yang berlainan juga.

Benar, memang benar seperti apa yang dikata, dan saya merasainya saat ini.

Dalam hati ini, saya punya beberapa impian sebelum melangkahkan kaki meninggalkan bumi Chriscthurch yang penuh terisi dengan pelbagai cerita suka duka. Saya mahu sahabat-sahabat, adik-adik dan sekalian yang lain memahami Islam dengan kefahaman yang sebenarnya. Hidup di bawah redup teduhan syariat yang memberikan ketenangan. Hebat laksana pahlawan Islam terbilang di zaman silam. Cintakan Allah dan rasul, melebihi cinta segala-galanya.

Nampaknya seperti begitu ideal, tetapi sama sekali bukanlah sesuatu yang mustahil. Mereka yang terdahulu pernah membuktikannya. Kerana itulah saya masih bertahan hingga saat ini, lantaran saya merasakan kerja dan kewajipan itu begitu banyak, semuanya menanti untuk saya sempurnakan. Saya sanggup melakukan apa sahaja untuk merealisasikan impian suci ini.


Namun saya sedar, lidi yang sebatang takkan mampu menyapu sampah yang sekandang. Saya perlukan sahabat-sahabat yang memahami erti perjuangan ini. Sahabat-sahabat yang punya kesatuan fikrah dan amal, untuk bergerak menuju cita-cita yang satu. Sebetulnya, saya amat merindukan sahabat-sahabat seperti itu yang pernah saya bersama dengan mereka suatu ketika dahulu. Kini rindu itu datang lagi. Tetapi tidak tahu mahu dilepaskan rindu itu bagaimana. Kusam…

Kerja itu terlalu banyak sehingga saya tidak tahu di mana harus bermula. Namun semakin hari, masa yang tinggal semakin berkurang, bimbang tidak sempat untuk memulakan ‘kerja-kerja’ yang sebenarnya. Kadang kala saya merasakan seperti tidak pernah membuat sebarang usaha, setiap kali cuba mengintai hasil usaha selama ini.

Walaupun sedikit sedih, tetapi saya tidak mahu menjadikannya titik kelemahan diri. Dunia ini bukan negeri balasan, mahupun ladang menuai hasil yang masak ranum. Kerana itu saya terus bersabar dan terus berusaha, moga-moga dengannya Allah memandang saya dengan pandangan rahmatNya. InshaAllah.


Saya berkira-kira, adakah saya telah membuat yang terbaik untuk menyempurnakan tugas dakwah selama ini.. Jawapannya masih banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki. Ianya menuntut pengorbanan yang tidak sedikit. Namun, sering juga diri ini tunduk pada pujukan nafsu dan bisikan syaitan, yang sering menjadi hijab turunnya pertolongan Allah. Tiada siapa yang perlu dipersalahkan melainkan diri sendiri. Untuk itu saya pohon keampunan daripadaNya, moga-moga dosa-dosa itu tidak lagi saya ulangi selagi jasad ini masih bernyawa.

Saya tidak mahu menyerah kalah begitu mudah. Biarpun kekurangan dari sudut sahabat dan ukhuwah, namun saya tetap punya Tuhan yang Maha Setia mendengar segala rintihan dan luahan hati terpendam selama ini. Dia bisa membolak-balikkan hati sesiapa yang Dia kehendaki. Saya bersyukur kerana Dia masih lagi mengurniai kekuatan untuk tetap hati di jalan ini, jika tidak sudah lama saya berundur diri, gugur dari jalan yang penuh liku ini.

Jalan perjuangan ini tidak dihiasi dengan gemerlap cahaya kesenangan yang menipu. Padanya terpalit mehnah dan tribulasi yang hanya dapat digambarkan apabila kita berada di dalamnya. Jalannya bukan panjang kerana jaraknya yang jauh, tetapi terasa begitu jauh kerana ujian yang tidak jemu menanti setiap langkah mereka yang menyusuri jalan ini.

Tampak seperti pedih dan perit sekali untuk melaksanakan tugas ini, namun ketahuilah, padanya ada KETENANGAN yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati orang-orang beriman yang sabar menempuhinya. Ketengan itu haruslah dibayar dengan harga yang mahal, lantaran ia lebih bernilai dari harta dunia dan seisinya. Ketenangan itu memberikan kekuatan dan tenaga untuk terus, dan terus beramal.

Saya ini hamba yang lemah, pada diri ini terlalu banyak lompang dan tempangnya. Namun saya akan terus berusaha sedaya upaya, sekurang-kurangnya saya bisa berperanan seperti burung kecil yang mencedok air dengan paruhnya lalu cuba memadamkan api yang sedang membakar Saidina Ibrahim A.S. Meskipun jika dinilai dengan mata kasar, tindakan itu seolah-olah ‘overambitious’, tetapi di sisi Allah, keikhlasan hati itu yang tinggi nilainya.

Saya cintakan saudara-saudara seagama saya di sini. Saya cintakan tugasan dakwah ini. Dan saya ingin menyempurnakannya dengan sepenuh kasih dan ihsan di dada. Moga saya menemui sinar yang saya cari di hujung perjalanan ini….(89: 27-30)


Sunday, February 17, 2008

Amran oh Amran..


Hari ini saya mengambil kunci bilik baru di Ilam Office. Terima kasih kepada Kathy, Resident Assistant yang membantu saya mengenalpasti lokasi bilik bernombor 4 di Flat 47, Kowhai, Ilam Village. Sempat berkenalan dengan 2 orang flatmate yang kebetulan sudah pun saya kenal sebelum ini, iaitu Hassan dari Saudi dan Nicholas, orang Kuala Lumpur. Atif adalah seorang lagi rakan serumah yang berasal dari Brunei, manakala Elizabeth dan Marlot pula masing-masing berasal dari US. Lokasi bilik di tingkat tiga memberikan saya panorama indah pekan Riccarton, biarpun terpaksa membakar beberapa puluh kalori untuk sampai ke bilik itu. Apa-apa pun, Alhamdulillah, saya bersyukur. Mungkin ini caturan terbaik buat saya di sini.

Sebagai respon kepada komen yang diberikan di dalam artikel Kita mahu jadi Mukmin atau Professional?, saya suka untuk membawa satu cerita untuk renungan kita bersama. Amran (mungkin bukan nama sebenar), sedang belajar dalam jurusan Architecture di sebuah universiti terkemuka di luar negara. Beliau merupakan seorang yang begitu memahami fikrah perjuangan Islam dalam menyampaikan Dakwah ilaLLah kepada rakan-rakan sekeliling. Berlainan daripada kebanyakan generasi muda hari ini, beliau begitu tekun beribadah, bukan sahaja yang wajib, malah yang sunat juga turut disapu bersih. Setiap hari, Amran pasti mengemaskini ‘checklist’ rutin ibadahnya bagi memastikan setiap ruang aktiviti bertanda ‘right’. Sebelum tidur, tidak boleh tidak, beliau akan bermuhasabah bagi mengenalpasti apakah ibadah hari ini lebih baik dari semalam. Begitulah rutinnya sehari-hari.

Masalah

Amran juga aktif dalam berpersatuan, sebagai wadah atau platform untuk menyampaikan dakwah Islam kepada orang ramai. Begitu banyak program disusun untuk adik-adik yang baru tiba, begitu juga untuk rakan-rakan yang sudah lama di sana. Namun, beliau mendapati saban hari, program-program yang dibuatnya tidak mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Dan pada kebanyakan masa, hanya dirinya seorang sahaja yang begitu bersemangat untuk berprogram. Bukan tiada pembahagian tugas dan AJK, namun semuanya ibarat ahli kongsi lelap sahaja, sekadar memenuhi ruang carta.

Oleh kerana itu, Amran terpaksa menghabiskan banyak masa untuk mengatur program-program, bermula dari menyusun kerusi, hinggalah mengemas kembali kerusi tersebut, semuanya dilakukan olehnya. Hal ini menyebabkan beliau terpaksa mencuri masa studinya bagi memastikan segala kerja dakwah berjalan lancar.

Akibat daripada kurangnya masa mengulangkaji, kini pelajarannya semakin merosot. Dari semester ke semester, keputusannya semakin membimbangkan, sehingga beliau hampir-hampir sahaja tidak diterima untuk meneruskan ‘enrollment’ di fakultinya itu.

Penyelesaian

Menelusuri kerumitan yang dilaluinya membuatkan Amran mula tawar hati untuk aktif di dalam kerja dakwah, lantaran hasilnya tidak kemana, dan mudarat pula yang semakin banyak menimpa dirinya.

Sekiranya anda berada di tempat Amran, apakah yang anda akan lakukan?

  1. Tumpukan pada pelajaran dengan menangguhkan buat sementara waktu kerja-kerja dakwah.
  2. Tetap meneruskan kerja dakwah lantaran anda memahami bahawa dakwah itu suatu kewajipan seorang Muslim yang dikurniakan dengan kefahaman Islam.

Bagi kedua-dua jawapan, keputusan anda mungkin betul dan mungkin juga salah. Sebetulnya, tiada satu ‘skema’ jawapan yang tepat bagi menyelesaikan masalah sedemikian, Hal ini kerana ia bergantung kepada banyak faktor. Apa yang dapat kita lihat dengan mata kasar adalah ‘the presented problem’. Jika kita hanya mahu menyelesaikan masalah yang bisa dilihat sahaja, pasti akan timbul masalah lain pula; lantaran sesuatu harus dikompromi. Jika Amran menumpukan pada study, nescaya kerja dakwahnya akan terbengkalai, bimbang rutin ibadahnya yang banyak juga akan turut menerima nasib yang sama. Namun, jika diteruskan dakwah, lebih dibimbangi hal ini akan menamatkan peluangnya untuk meneruskan pengajian di universiti. Persoalan ini memerlukan kita melihatnya dari sudut pandangan yang berbeza; melihat kepada ‘the real problem’.

Niat Amran itu betul, imannya juga benar, ibadahnya juga bagus; hal ini menunjukkan beliau tidak mempunya masalah dari sudut seorang ‘mukmin’ yang mentaati Syari’atullah. Apa yang perlu dipastikan adalah beliau tidak melakukan dosa yang bisa menjadi hijab tertangguhnya pertolongan Allah. Namun di sana, kita perlu melihat dari sudut professionalism yang ada pada dirinya. Persoalan pertama, mengapa beliau mendapati kerja dakwahnya tidak mendapat sambutan? Hal ini mungkin kerana programnya tiada daya tarikan, atau mungkin juga terlalu serius lantaran hanya membincangkan ayat Al-Quran dan hadith nabi S.A.W, dan tidak lupa juga buku-buku fikrah perjuangan yang telah ditetapkan silibusnya dan wajib dikhatamkan dalam tempoh tertentu. Hal ini menyebabkan dakwahnya menjadi keras dan kaku, ibarat mahu meng’install’ perisian di dalam computer. Hakikatnya, mad’u tidak seperti itu. Mereka punya hati, perasaan dan akal fikiran yang boleh menilai menurut neraca mereka yang tersendiri. Mereka layak untuk mendapat maklumat yang adil dan benar tentang Islam. Mereka juga perlukan sentuhan yang mendidik jiwa, bukan sekadar menurut kata tanpa fikiran yang terbuka. Untuk itu, Amran perlu ‘memanusiakan’ dakwahnya, dengan mempelajari ilmu-ilmu komunikasi yang berkesan, berdakwah dengan ‘bahasa’ mereka, fleksibel dalam menggunakan bahan sebagai sumber rujukan, atau dengan kata lain, menjadi seorang pendakwah yang professional.

Hal ini tidak sampai pula menggadaikan prinsip yang dipegang. Lihat sahaja contohnya pada nabi kita sendiri; apabila ditanya tentang amalan terbaik dalam Islam, baginda akan melihat peribadi sahabat yang bertanya terlebih dahulu sebelum melontar jawapan terbaik, sesuai dengan ‘nilai’ yang ada pada sahabat itu. Itulah yang dikatakan professional. Dan professionalism ini akan membuahkan produktiviti yang tinggi, lantaran ia menepati ‘Sunnatullah’ yang juga merupakan hukum atur alam ini.

Apabila iman kita benar dan dakwah pula disampaikan dengan berkesan, inshaAllah pertolongan Allah pasti datang. Lihat sahaja pada sirah nabi semasa baginda berhijrah, berperang, bersiasah dan dalam banyak perkara, baginda bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, tetapi setiap satunya diberikan perhatian dan diatur perancangan teliti, semata-mata bagi membuahkan hasil terbaik yang bakal menguntungkan Islam. Meskipun bagida seorang nabi, baginda tidak pernah hanya berdoa mengharap pertolongan Allah, walaupun ia bisa dilakukan dengan statusnya yang tinggi itu. Dan untuk setiap tindak-tanduknya, baginda melakukannya dengan teliti dan terbaik, agar menjadi contoh realistik buat ikutan umatnya di kemudian hari.

Itu nabi. Bagaimana pula dengan kita? Saya percaya dalam hal ini, Amran masih punya banyak ruang yang boleh diperbaiki, terutama dalam arena professionalism bagi memperbaiki kerja buatnya yang sangat mulia dan tinggi nilainya di sisi Allah. Jangan salahkan dakwah, kerana dakwah harus terus berjalan. Jika tidak kita, pasti Allah akan memilih orang lain. Kesudahannya, Islam tidak rugi, tetapi kita yang rugi besar. Carilah ruang dan peluang untuk memperbaiki diri dengan merujuk pada mereka yang telah pun melalui jalan ini dengan pelbagai gaya dan cara.


Dakwah dan Jemaah

Kita tidak akan mampu berjaya seorang diri. Kita perlu kepada rakan dan sahabat. Kita perlu kepada komuniti (jemaah), lantaran lidi yang sebatang lebih mudah patah berbanding seikat yang bukan sahaja boleh dijadikan penyapu, tetapi boleh juga memukul pencuri kalau ada yang mahu pecah rumah. Dan apabila beradapan dengan fenomena kepelbagaian jemaah, kita harus berlapang dada dan ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’. Jangan cepat melatah, jangan pula mudah membenci, lantaran kita ibarat bahtera berlainan yang berlayar di lautan yang sama menuju ke destinasi yang satu. Ini juga sebahagian dari professionalism.

Kesimpulannya, kita sudah punya acuan terbaik untuk membentuk hidup, sesuai dengan panduan syariat. Sama ada kita mahu mengmbil manfaat atau hanaya mahu bersikap ‘aku tidak pedulisma’, semuanya terletak di tangan kita. Perlu kita ingat, muda bukan sekali, tetapi dua kali banyaknya. Satu di dunia, dan satu lagi di akhirat. Berusahalah mentaati syariat dan sunnatullah semasa muda di dunia ini, agar mudanya kita di akhirat nanti di dalam ketenangan syurga yang abadi…Allahumma Ameen…

Monday, February 11, 2008

Kita mahu jadi Mukmin atau Professional?



Suatu hari seorang rabai bersama seorang paderi menyaksikan suatu pertandingan tinju. Ketika peninju pertama naik ke gelanggang, beliau seolah-olah melukis tanda salib di dadanya, seperti mana yang banyak dilakukan oleh atlit sukan terkemuka tatkala acara bakal bermula.
Melihatkan aksi peninju membuatkan rabai itu berfikir, lalu pantas terbit soalan dari bibirnya kepada paderi, "Apakah makna di sebalik perbuatan peninju itu melukis lambang salib di dadanya?". Jawab paderi,"Perbuatan itu tiada makna sendainya dia tidak tahu bertinju".

Kisah ini meskipun ringkas, namun padat dengan ibrah buat panduan mereka yang berfikir. Lambang salib itu boleh dikaitkan dengan 'keimanan' peninju itu kepada Tuhannya. Biarpun hidupnya sehari-hari jauh dari ketaatan kepada agama, tetapi di saat-saat getir seperti itu, rasa bertuhan tetap tegar di sudut hati yang paling dalam. Detik itu, dia benar-benar mengharapkan pertolongan dari Yang Maha Kuat, agar dapat dikalahkan musuhnya itu dengan mudah. Di situlah terbitnya rasa 'beriman' kepada Tuhannya.

Namun, iman sahaja belum tentu cukup untuk menjadikannya peninju agung, bak kata paderi itu. Tanpa latihan yang cukup, masakan dia dapat membaca gerakan pantas lawan yang sentiasa mencari peluang. Pastilah di sana memerlukan persediaan yang mantap, sehingga dia benar-benar layak untuk digelar 'pakar' dalam bidang tinju.

Gabungan kedua-dua elemen ini, iaitu kepercayaan atau keimanan dan kepakaran atau professionalisma, membentuk suatu sinergi yang seimbang. Dari sinergi ini maka lahirlah peribadi-peribadi agung seperti yang telah dinukilkan oleh sejarah lampau. Biarpun hal ini diperkatakan oleh mereka yang bukan beragama Islam, aqidah mereka tidak berpaksikan tauhid kepada Allah S.W.T., namun harus diingat, kebenaran tetap kebenaran. Lihatlah pada apa yang diperkatakan, bukan semata-mata siapa yang memperkatakannya. Di dalam Al-Quran, Allah pernah membenarkan kata-kata Ratu Balqis berkenaan lazim kelakuan raja-raja apabila mereka memasuki kampung; mereka akan melakukan kerosakan dan memusnahkan segala harta benda. Biarpun Ratu Balqis itu mensyirikkan Allah dengan menyembah matahari, namun dek kerana benar dakwaannya itu, maka Allah merakamkannya di dalam Al-Quran, kitab panduan suci umat Islam.

Wahyu pertama


Sebetulnya, saranan menjadi mukmin yang professional ini telah pun disampaikan mesejnya oleh agama Islam sejak bermula penurunan wahyunya ke muka bumi ini. Lihat sahaja pada ayat pertama surah Al-'Alaq. Allah memerintahkan kita membaca sebagai lambang kepada menuntut ilmu dan membina kepakaran. Dengan ilmu, kita bisa mampu mencapai tahap professional. Namun professionalism sahaja tidak cukup, kerana itulah di akhir ayat, Allah menekankan supaya membaca itu hendaklah dilakukan dengan nama Allah Yang Menciptakan. Di sini terdapat unsur-unsur keimanan kepada Allah selaku Dzat Yang Maha Agung. Sungguh indah susunan ayat ini sehingga menjadikan ia begitu lengkap dan sempurna, sebagai panduan buat mereka yang MAHU mengambil iktibar.

Jika benar Islam menganjurkan kita menjadi mukmin yang professional, maka mengapa kala ini terlalu ramai yang leka, menyebabkan hampir kesemua lapangan professional dipelopori oleh mereka yang tidak beriman? Dan jika ada yang bergelar professional, entah ke mana imannya dicampaknya begitu sahaja? Jawapannya ada pada diri kita sendiri.

Membina Bangunan



Rahsia kepada kehebatan seseorang bergantung kepada sekukuh mana dia berpaut kepada asas yang menjadi tunjang kepada kejayaan diri. Jika kita ingin membina sebuah bangunan setinggi 483 meter, maka kita perlu menanam cerucuknya, sejauh 483 meter ke dalam tanah. Barulah bangunan itu bisa stabil dari gempa atau bencana alam yang sewaktu dengannya. Saya teringat baru-baru ini, para pengkaji bumi telah mendapati bagi setiap gunung, terdapat suatu unjuran ke dalam bumi yang sama dengan ketinggian gunung itu, yang juga dikenal sebagai 'peg' atau pasak kepada bumi. Hakikatnya, perkataan yang serupa juga telah dinukilkan di dalam Al-Quran bagi menerangkan fungsi gunung lewat 1400 tahun yang lalu. Apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah, kita memerlukan kepada asas yang sangat kuat untuk kita mencapai kehebatan, agar hebatnya kita nanti tidak menjauhkan kita dari Yang Maha Hebat.

Persoalan asasnya adalah pada mengenal Tuhan yang menciptakan diri ini. Mengapa perlu kenal pada Tuhan? Ini kerana dia yang menciptakan kita. Pasti Dia Maha Arif dengan tujuan hidup kita, panduan yang terbaik untuk kita, dan segala-galanya yang berkaitan dengan seluruh makhluk ciptaanya, lantaran Dia adalah Sang Pencipta. Apabila ditanya kepada Tuhan tentang tujuan hidup kita, maka Allah menjawab tiada tujuan lain kita dituskan ke bumi, melainkan untuk beribadah kepada-Nya.

Hidup beribadah

Kalau begitu, adakah bermakna kita perlu solat, membaca Al-Quran dan berzikir sepanjang masa, sepertimana definisi 'ibadat' yang difahami kebanyakan orang dewasa ini? Sudah pastilah hidup akan menjadi hambar jika saban hari sebegitu rupa. Kerana itulah kita perlu memperbetulkan kefahaman, bahawa ibadah itu adalah sangat luas, meliputi makan, tidur, belajar, bersukan, bermasyarakat, bahkan apa sahaja asalkan ia dilakukan dengan niat kerana Allah dan tidak melanggar syariat. Dengan itu, setiap inci kehidupan kita bisa jadi ibadah kepada-Nya.

Tatkala kita sudah mengenali Tuhan, dan tujuan hidup, barulah mudah untuk kita mentaati syariatNya. Dan syariat Islam adalah bersifat menjuruskan penganutnya menjadi seorang Mukmin yang professional. Lihat sahaja pada tatacara hukum jual beli, bermasyarakat, interaksi dengan alam, bahkan selautan bidang ilmu yang dianjurkan oleh Islam kepada penganutnya. Dan penguasaan ilmu itu pula disaluti oleh aqidah yang benar kepada Allah S.W.T.

Terasa panjang pula celoteh saya kali ini. Moga ada manfaat untuk kita di kemudian hari. Mulai hari ini, kita sama-sama tanamkan azam untuk menjadi seorang mukmin yang professional. Siapa tahu, mungkin suatu hari, peninju agung yang merangkul gelaran juara adalah seorang Mukmin, yang benar-benar professional dalam kerja buatnya....inshaaAllah

Tuesday, February 05, 2008

Terima Kasih Tuhan untuk kali ini...


Aku bermalas-malasan ketika pulang dari kampus. Tugasan yang perlu kuhantar selewat hujung minggu ini memaksaku untuk bermastautin di makmal komputer yang dibuka 24 jam di bangunan "Sekolah Kejuruteraan". Aku akur, inilah lumrah hidup seorang insan bergelar penuntut ilmu. Menghambakan diri demi secebis warkah pengesahan yang akan mengubah warna hidup masa hadapan. Namun bagiku, ia hanyalah alat yang menyampaikanku kepada tujuan hidupku yang sebenar. Jangan kerana alat, kita culas pada matlamat.

Jam di sudut meja bilikku menunjukkan tepat 12 pagi. "Elok juga kalau dapat check emel sebelum tidur. Mana tahu, barangkali ada mesej penting daripada pensyarahku." getus hatiku perlahan, seiring dengan tindakanku yang tanpa sedar menekan butang 'power' pada komputer riba ku. Aku mulakan sesi pelayaran alam maya dengan memeriksa peti emelku yang sebenarnya baru sahaja kubuka ketika berada di makmal komputer sebentar tadi. "Hmm...tidak ada emel terbaru nampaknya." detik hatiku seolah-olah sedikit hampa.


Seketika kemudian, mataku melirik pada bookmark yang sudah kupahatkan pada browser internetku. Aku pantas menekan butang 'my fotopages', melihat hasil kreativiti dalam mengubahsuai gambar yang kuambil saban hari. Minatku terhadap bidang fotografi semakin hari semakin menebal. Aku pun tidak tahu bagaimana untuk mengatakan tidak pada hobi yang sememangnya 'mahal' ini. Beberapa fotopages rakan-rakan lain turut kulayari untuk mendapatkan idea pengubahsuaian gambar yang menarik.

Tiba-tiba, tanpa kusedari, seekor nyamuk terbang sayup lalu hinggap ke lenganku. "Eh, biar benar. Selama 2 tahun lebih aku tinggal di New Zealand, inilah kali pertama aku melihat nyamuk hinggap di tanganku. Pelik tapi menarik." Sungguhpun nada hatiku seolah-olah terkesima dengan kehadiran sang nyamuk itu, tetapi aku tetap tidak membenarkan ia menghisap darahku sesuka hati. Aku lantas menepis nyamuk itu, tetapi ia pula tangkas mengelak seranganku. Seketika kemudian, nyamuk itu terbang pergi.

Waktu kini menghampiri 1.30 pagi. Aku masih juga belum mahu tidur, walaupun itu matlamat utamaku sejurus pulang dari kampus sebentar tadi. "Ahh, layan YM sekejap pun menarik juga", hatiku seolah-olah meminta izin untuk berbual-bual dengan rakan-rakan dari seluruh dunia. Jasadku membenarkan. Sambil diiringi alunan muzik yang berunsurkan 'Islamik', aku memulakan bicara dengan berbual dengan sahabatku Fahri, dari Mesir. Sejurus kemudian, Shukor, sahabatku yang kini belajar di UK pula menegurku. Pelbagai topik hangat yang kami bincangkan, bermula dari bertanya khabar, hinggalah kepada isu-isu terkini lagi sensasi. Aku terus melayani waktu yang kian berlalu.

Saat itu, hatiku terdetik,"Elok juga kalau dapat solat sunat barang 2 rakaat." Tetapi entah mengapa, kubiarkan sahaja hasrat hati itu berlalu oleh keseronokan berbuar-bual dengan rakan-rakan maya ketika itu.

Seketika, mataku melirik pada jam di komputer ribaku. "Sudah pukul 4 pagi. Bila agaknya aku nak tidur...aku pun tidak tahu" begitulah hatiku bermonolog sendirian. Tidak lama kemudian, nyamuk yang menggangguku sebentar tadi datang kembali, dan sempat menghisap darahku. Merasai kesakitan gigitannya, aku cuba menepisnya, tetapi nyamuk itu tetap juga dapat mengelak, meskipun terbangnya makin perlahan saat ini.

Aku sudah tidak hiraukan kelibat nyamuk itu lagi. Kuteruskan pelayaran internet dengan menonton beberapa video yang kulabelkan sebagai 'bercirikan Islam' di laman web Youtube. Tidak lama kemudian, terdengar azan subuh berkumandang di corong speaker komputer ribaku. "Hmm sekejap lagi solat", detik hatiku perlahan, sambil meneruskan pelayaran di alam virtual.

Dalam tidak sedar, aku diganggu nyamuk yang sama untuk kali ketiga. "Apa masalah nyamuk ni, tak puas lagi kah menghisap darahku?" bingkasku seolah-olah marah dengan nyamuk itu. Ketika itu, aku dapat melihat perut nyamuk itu sudah kembung menandakan banyaknya darah yang telah disedut. Kali ini tanpa lengah, aku terus menepuk lenganku, tempat di mana nyamuk itu hinggap. Memandangkan keadaanya yang semakin berat, nyamuk itu seolah-olah tidak berdaya untuk terbang lagi dan akhirnya tumpas juga ia di tanganku.

Kemudian baru aku tersedar, waktu Subuh sudah hampir berakhir, hanya berbaki beberapa minit sahaja lagi. Aku lantas berwudu' dan menyempurnakan solat Subuh seadanya.

Usai solat, aku termangu sendirian. Ada sesuatu yang tersirat di sebalik insidenku diganggu nyamuk sepanjang malam tadi. Benakku ligat berputar. Rupa-rupanya, baru aku perasan, nyamuk yang menghisap darah tadi ibarat tindakanku yang mahu mengejar keseronokan duniawi. Ketika masih sedikit, nyamuk itu mampu untuk menepis tamparanku. Namun apabila perutnya kembung dengan darah yang dihisap, ia menjadi lesu dan tidak bermaya, maka akhirnya tewas pada keseronokan yang disangka nikmat sebentar tadi. Begitu juga yang berlaku pada diriku, yang pada mulanya hanya ingin membuka emel, kemudian berlanjutan dengan chatting dan pelayaran laman web yang pelbagai. Hinggakan aku lupa untuk bertahajjud dan hampir kehilangan waktu Subuh! Astaghfirullah..betapa lalainya aku dengan nikmat dunia yang 'kusalutkan dengan jenama' Islam sehinggakan ia meragut ketaatanku kepada Pemberi segala nimat selama ini. Ya Allah, hikmah Mu benar-benar menyedarkanku dari lena yang palsu.

Aku terus termenung. Berapa banyakkah nikmat Allah yang kukecapi selama ini, kugunakan pada jalan yang membawa aku lalai daripada mengingatinya, sehinggakan aku berasa selasa berada di dalamnya. Derhaka dalam ketaatan, itulah yang paling aku takuti.

Lumrah manusia, selama mana mereka diberi nikmat, selama itu mereka lalai bahkan kufur melakukan dosa. Melainkan apabila mereka diuji, barulah tersedar dan cepat-cepat bermohon pada Tuhan, agar dijauhkan segala kesusahan. Namun tatkala susah itu hilang, mereka kembali kepada kederhakaan. Na'uzubillahi min zaalik.

Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati ini pada agamaMu, dan Taat kepadaMu dan berjihad di Jalan Mu yang satu. Amin...


p/s: Sesungguhnya ini adalah peringatan untuk diriku yang sering lupa...