Tuesday, May 06, 2008

Tuhan. izinkan diri ini untuk beramal..


Minggu ini adalah minggu pertama ‘winter’ untuk tahun ini. Sejuk benar rasanya berbanding tahun-tahun sudah. Sepanjang perjalanan saya ke universiti kira-kira jam 8.50 pagi tadi, saya mendapati lapisan frost yang menyelimuti padang rumput sedang mencair dimamah cahaya mentari. Damai. Indah panorama ini diserikan lagi dengan taburan daun-daun kekuningan yang berguguran sepanjang musim luruh yang baru sahaja berakhir. Ah, terasa benar kebesaran Allah yang Maha Berkuasa mencipta alam semesta yang penuh dengan keindahan ini. Alhamdulillah.

Tenang fatamorgana ini sedikit sebanyak mengubati resah saya sejak akhir-akhir ini. Entah mengapa saya pun tidak tahu akan puncanya. Barangkali mungkin hanya cebisan beberapa masalah kecil yang semakin lama menimbun hingga memenuhkan kotak pemikiran saya yang kian sempit ini.

Mungkinkah saya merasa keseorangan? Atau mungkinkah saya belum begitu efisyen dalam mengatur segala tugas dan kewajipan, hingga merasakan bagai tiada siapa di sisi untuk menemani, buat memberi semangat dan kekuatan pada diri untuk terus berlari? Entahlah, saya masih berkira-kira mencari formula untuk menyelesaikannya hingga saat ini.

Hal ini membuatkan saya terfikir akan pengajaran daripada surah al-Fajr yang dibincangkan dalam pertemuan ‘kami’ minggu lalu. Seolah-olahnya surah ini diatur untuk saya fahami sesuai dengan ketika saya memerlukannya. Surah ini dimulakan dengan ‘setting’ unsur-unsur alam yang amat mendamaikan jiwa mereka yang menghayatinya. Waktu awal pagi dan waktu malam adalah dua ketika yang amat tenang, memberi kesegaran dan kerehatan maksimum, sesuai dengan runtunan tubuh badan kita.

Penggunaan unsur alam semesta ini sebenarnya memberikan kekuatan kepada Rasulullah untuk terus berdakwah, di sebalik mehnah yang dilancarkan oleh kaum Musyrikin ketika itu.

Ada apa dengan alam semesta?

Sebenarnya Allah mahu menunjukkan kepada kita bahawa wujudnya suatu hubungan yang sangat harmoni antara manusia dan seluruh makhluk di semesta ini yang memberikan kekuatan, ketenangan dan kebebasan yang hakiki. Hubungan ini jika diperhati dengan teliti, adalah hubungan yang sangat unik, lantaran semua makhluk di semesta ini sentiasa bertasbih kepada Allah. Apabila Allah berfirman bahawa “Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang”, mengingati Allah itu tidak disempitkan hanya dengan ibadah khusus, bahkan juga dengan melihat sesuatu yang sentiasa taat kepadaNya juga, hati bisa menjadi tenang!

Kerana itu, saya mendapati ramai di kalangan rakyat tempatan di bumi Kiwi ini banyak menghabiskan masa menikmati keindahan alam semulajadi yang tersergam indah, biarpun terpaksa berbelanja besar untuknya. Namakan sahaja sebarang aktiviti seperti skiing, snowboarding, camping, sailing, kayaking, bahkan banyak lagi, seolah-olah sudah menjadi ‘trend’ bagi mereka di sini melepaskan diri daripada tekanan yang pelbagai punca. Ini kerana apabila melihat alam semula jadi, mereka melihat ‘ketenangan’ ada di situ, yang memberikan kerehatan dan kebebasan dari segala sesak minda sepanjang minggu bekerja.

Justeru unsur alam semesta ini menjadi sumber kekuatan atau ‘charger’ tatkala lemahnya semangat dan iman dalam diri. Begitulah indahnya tarbiyah Allah kepada rasulNya yang tercinta; tatkala merasa tiada siapa di sisi untuk menemani, Allah menghadiahkan seluruh alam buat kekasihNya supaya tidak lagi berduka. Bagaikan menghembuskan kata-kata indah bahawa alam semesta sentiasa bersamamu menegakkan tanggungjawab dakwah di muka bumi ini.

Hal ini membuat saya berasa lega. Pandangan saya terhadap alam sekililing kala ini bukan lagi sekadar pandangan kosong, tetapi penuh dengan pengamatan dan ‘penyatuan’ rasa kehambaan kepada Allah.

Saya teringat kata-kata Dr Muhammad dalam kuliahnya ketika Brothers Camp beberapa bulan lalu; dua orang boleh melakukan perkara yang sama, tetapi dengan niat yang berbeza yang akhirnya akan menatijahkan hasil yang berlainan juga.

Benar, memang benar seperti apa yang dikata, dan saya merasainya saat ini.

Dalam hati ini, saya punya beberapa impian sebelum melangkahkan kaki meninggalkan bumi Chriscthurch yang penuh terisi dengan pelbagai cerita suka duka. Saya mahu sahabat-sahabat, adik-adik dan sekalian yang lain memahami Islam dengan kefahaman yang sebenarnya. Hidup di bawah redup teduhan syariat yang memberikan ketenangan. Hebat laksana pahlawan Islam terbilang di zaman silam. Cintakan Allah dan rasul, melebihi cinta segala-galanya.

Nampaknya seperti begitu ideal, tetapi sama sekali bukanlah sesuatu yang mustahil. Mereka yang terdahulu pernah membuktikannya. Kerana itulah saya masih bertahan hingga saat ini, lantaran saya merasakan kerja dan kewajipan itu begitu banyak, semuanya menanti untuk saya sempurnakan. Saya sanggup melakukan apa sahaja untuk merealisasikan impian suci ini.


Namun saya sedar, lidi yang sebatang takkan mampu menyapu sampah yang sekandang. Saya perlukan sahabat-sahabat yang memahami erti perjuangan ini. Sahabat-sahabat yang punya kesatuan fikrah dan amal, untuk bergerak menuju cita-cita yang satu. Sebetulnya, saya amat merindukan sahabat-sahabat seperti itu yang pernah saya bersama dengan mereka suatu ketika dahulu. Kini rindu itu datang lagi. Tetapi tidak tahu mahu dilepaskan rindu itu bagaimana. Kusam…

Kerja itu terlalu banyak sehingga saya tidak tahu di mana harus bermula. Namun semakin hari, masa yang tinggal semakin berkurang, bimbang tidak sempat untuk memulakan ‘kerja-kerja’ yang sebenarnya. Kadang kala saya merasakan seperti tidak pernah membuat sebarang usaha, setiap kali cuba mengintai hasil usaha selama ini.

Walaupun sedikit sedih, tetapi saya tidak mahu menjadikannya titik kelemahan diri. Dunia ini bukan negeri balasan, mahupun ladang menuai hasil yang masak ranum. Kerana itu saya terus bersabar dan terus berusaha, moga-moga dengannya Allah memandang saya dengan pandangan rahmatNya. InshaAllah.


Saya berkira-kira, adakah saya telah membuat yang terbaik untuk menyempurnakan tugas dakwah selama ini.. Jawapannya masih banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki. Ianya menuntut pengorbanan yang tidak sedikit. Namun, sering juga diri ini tunduk pada pujukan nafsu dan bisikan syaitan, yang sering menjadi hijab turunnya pertolongan Allah. Tiada siapa yang perlu dipersalahkan melainkan diri sendiri. Untuk itu saya pohon keampunan daripadaNya, moga-moga dosa-dosa itu tidak lagi saya ulangi selagi jasad ini masih bernyawa.

Saya tidak mahu menyerah kalah begitu mudah. Biarpun kekurangan dari sudut sahabat dan ukhuwah, namun saya tetap punya Tuhan yang Maha Setia mendengar segala rintihan dan luahan hati terpendam selama ini. Dia bisa membolak-balikkan hati sesiapa yang Dia kehendaki. Saya bersyukur kerana Dia masih lagi mengurniai kekuatan untuk tetap hati di jalan ini, jika tidak sudah lama saya berundur diri, gugur dari jalan yang penuh liku ini.

Jalan perjuangan ini tidak dihiasi dengan gemerlap cahaya kesenangan yang menipu. Padanya terpalit mehnah dan tribulasi yang hanya dapat digambarkan apabila kita berada di dalamnya. Jalannya bukan panjang kerana jaraknya yang jauh, tetapi terasa begitu jauh kerana ujian yang tidak jemu menanti setiap langkah mereka yang menyusuri jalan ini.

Tampak seperti pedih dan perit sekali untuk melaksanakan tugas ini, namun ketahuilah, padanya ada KETENANGAN yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati orang-orang beriman yang sabar menempuhinya. Ketengan itu haruslah dibayar dengan harga yang mahal, lantaran ia lebih bernilai dari harta dunia dan seisinya. Ketenangan itu memberikan kekuatan dan tenaga untuk terus, dan terus beramal.

Saya ini hamba yang lemah, pada diri ini terlalu banyak lompang dan tempangnya. Namun saya akan terus berusaha sedaya upaya, sekurang-kurangnya saya bisa berperanan seperti burung kecil yang mencedok air dengan paruhnya lalu cuba memadamkan api yang sedang membakar Saidina Ibrahim A.S. Meskipun jika dinilai dengan mata kasar, tindakan itu seolah-olah ‘overambitious’, tetapi di sisi Allah, keikhlasan hati itu yang tinggi nilainya.

Saya cintakan saudara-saudara seagama saya di sini. Saya cintakan tugasan dakwah ini. Dan saya ingin menyempurnakannya dengan sepenuh kasih dan ihsan di dada. Moga saya menemui sinar yang saya cari di hujung perjalanan ini….(89: 27-30)


7 comments:

Anonymous said...

Hanafi,

jangan putus asa. setiap usaha kau, ada kebaikannya walaupun sedikit (kira significant la)..
walaupun kau rasa kau sorang2, tapi ramai je yang berada di belakang untuk menyokong.

cheer up dan banyak2 kan bersabar.

penjejak marjan said...

Aku selalu rasa apa yg ko rasa sejak masuk alam uni dan berpisah dgn sahabat-sahabat..sungguh aku cukup mengerti dan merasai!

Namun, tak cukup utk kita hanya menangisi kehilangan nikmat Ukhuwah itu sahaja (yg sungguh besar ertinya dlm perjuangan ini), kerna disana kita ada segunung impian utk kita sama2 tegakkan.

Dan ini beberapa pesan ust, abg2 dan sahabat2 yg sentiasa terngiang2 ditelinga aku setiap kali aku terasa apa yg ko rasa..moga bermanfaat..

"Anta kena pk dlm2 sbb apa Allah campakkan anta kat sana? Apa kekuatan yg anta ada sebenarnya buat 'ummat dahaga' di sana?"..Sungguh Dia tak pernah melakukan sesuatu dgn sia2!

"Anta lebih beruntung sebab perasaan anta yang anta tanggung dalam keadaan lone ranger tu menjadikan anta lebih realistik dlm dakwah dan perjuangan.."

Dan dalam halus namun perit utk ditelan aku pun percaya bahawa kita sbnrnya tak pernah sendiri. Kadang kita perlu merajinkan diri utk berkomunikasi dgn sahabat2 yg jauh tapi hakikatnya cukup dekat di hati, yang mampu bertindak sebagai kayu2 api yg senantiasa membarakan kembali api perjuangan di jiwa ini.

InshaAllah ko mampu. Aku yakin. Aku cukup kenal ko dan ko antara org yg byk membantu aku suatu ketika dulu sehingga kita masih sama2 mampu berdiri utuh di jalan ini walau terlampau banyak badai yg melanda.

Dan hari ini Allah mempertemukan kita kembali dalam medan yg byk persamaannya walau di ruang bumi yg berbeza, sama2lah kita berusaha!

Kita takkan punya kemampuan utk mengubah arah angin badai mahupun tsunami yg melanda, namun hakikatnya kita mampu mengubah arah layar kapal kita..

Dedicated to u ~ 'Allah knows by Zain Bhikha'



p/s: sorrylah napie kalo terlebih perasa juwang mahupun jiwangnya..hehe

Allah knows Best. Selamat berjuang sahabatku.

petunjukku709 said...

salam wbt

sekadar utk memberi sokongan supaya terus tabah beramal dengan kefahaman Islam yang sebenar..

janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang tinggi darjatnya [di sisiNya] jika kamu orang yang beriman..

may He Bestow upon us, strength and endurance in spreading His Holy Word

Siti Yusrina Nadihah Binti Jamaludin said...

Salamun'alaikum wbt Akhi Hanafee...

Walaupun seringkali juga ana melawat blog antum...tapi baru sekarang ana terpanggil untuk meninggalkan jejak...guna mengembalikan semula himmah yg mungkin sedikit sirna dari diri antum...

MashaAllah, membacakan posting antum kali ini...I can sort of imagine and try to understand your situation...sedikit sebanyak, memang terlintas kenangan pahit dan manis selama bermusafir di bumi Monash...namun, ana tak sehebat antum...belum lagi dicampakkan ke bumi 'gersang' memandangkan masih ada teman-teman seperjuangan buat penyuntik semangat...tapi hakikatnya, kekuatan itu berasal dari keakraban si daie kepada Allah...dan inshaAllah, ana yakin antum sentiasa akrab denganNYA...atau paling tidak, tidak putus-putus berusaha untuk hampir padaNYA....dan di situlah hadirnya keajaiban berupa kekuatan yang tak mampu digambarkan dengan kata-kata...Allahu a'laam...

Asifati jiddan...mungkin ana tak begitu pandai menasihati orang lain...tapi kalau antum masih ingat lagi...suatu masa antum meminta ana semak satu ayat ni...dan end up ana harus membaca keseluruhan surah gara-gara mencari ayat tadi...tapi tak jumpa since surahnya tersilap...apapun, ana kira natijah daripada itu...ana selalu ingat akan pesanan Allah dalam ayat itu...(hope you can still recall the past)

InshaAllah...semoga Allah mengirimkan kekuatan buat antum di sana...baik di kala utuh mahupun goyah....dan percayalah...Dia tidak akan pernah meninggalkan antum selagimana antum tidak tegar meninggalkanNYA jauh...."kerana Allah itu ada"

Jazakumullahu khayran katsiran 'ala kulli hal...Mohon maaf andai ada kesilapan kata...bukan niat ana menggurui, cuma sekadar memberikan sokongan padu kepada pejuang agama seperti antum...anggaplah ia sebagai kiriman dari sahabat kepada sahabat...(",)

Wallahu ta'ala a'laam...

Ukhtil mukhlisah,
Ukhti Yusrina

Anonymous said...

ukhwah itu indah, ukhwah itu bukanlah terletak pada indahnya pertemuan di mata, bukannya terletak pada manisnya senyuman di bibir tp ukhwah itu terletak pada ingatan seorang saudara kepada saudaranya yang lain di dalam doanya..
~al ghazali~

NuR^QaLBi said...

Salam sahabat...sedikit peringatan buat peniup semangat jua pengukuh cebisan kekuatan...

" Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga,padahal belum nyata bagi ALLAH orang-orang yang berjihad di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar."
(3:142)

" Dan betapa banyak nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikut(nya) yang bertaqwa. Mereka tidak (menjadi) lemah kerana bencana yang menimpanya di jalan ALLAH, tidak patah semangat dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Dan ALLAH mencintai orang-orang yg bersabar." (3:146)

"Dan tidak lain ucapan mereka hanyalah do'a, 'Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebihan (dalam) urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir." (3:147)

"Dalam kesakitan teruji kesabaran...
dalam perjuangan teruji keikhlasan..
dalam tawakkal teruji keyakinan..
penat lelah dan do'a adalah permualaan...
kegagalan berada di pertengahan...
namun...
kejayaan pasti menanti di hujung jalan...yakinlah...inshaALLAH..."

Cheer up and be strong buddy..

yaiiek naa said...

Insha ALLAH...
Dengan menginhat ALLAH semua akan berjalan dengan sempurna.