Sejak kecil, saya memang jarang tinggal bersama ibu..Sedari tadika, ibu, abah dan adik beradik yang lain berpindah ke Pasir Gudang, Johor. Ketika itu, saya masih lagi di tadika At-Taqwa, Masjid Tanah, Melaka. Tinggal bersama arwah emak (saya memanggil arwah nenek dengan panggilan 'emak', lantaran terlalu rapat dengannya.) Meskipun saya seorang yang nakal semasa lingukngan umur 6 tahun, tetapi emak jarang memarahi saya. Namun, setiap kali beliau menjeling, darah saya berderau. Saya faham benar akan kerlingan itu.
Setelah tamat (graduate) daripada tadika, saya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Rendah Islam ABIM di Johor Bharu. Ketika itu juga saya tidak tinggal bersama keluarga. Sebaliknya, selama dua tahun setengah, saya tinggal bersama sebuah keluarga angkat. Menjelang pertengahan tahun darjah 3, ibu dan abah kembali ke Masjid Tanah. Saya juga berpindah ke Sekolah Rendah Islam Al-Falah, Kuala Sungai Baru, Melaka. Pun begitu, saya masih lagi tidak tinggal bersama keluarga sehingga darjah 6. Sebaik sahaja 'pulang' ke rumah, abah pula ditawarkan kenaikan pangkat sebagai Registrar ke Sekolah Rantau Petronas di Kerteh, Terengganu. Beberapa bulan sebelum peperiksaan UPSR, ibu pula mendapat tawaran pertukaran kerja ke Pejabat Pos Kerteh. Aduhai, akhirnya saya kembali mengambil peperiksaan bersama arwah emak, bertanyakan tentang peribahasa dan simpulan bahasa Melayu lama. Saya banyak belajar daripadanya.
Selepas tamat UPSR, saya meneruskan penjelajahan menuntut ilmu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad, Batu Berendam Melaka. Sepanjang persekolahan di sana, saya sering pulang ke kampung untuk bertemu emak. Semasa di tingkatan 2, emak ditimpa kemalangan. Sejak itu, kesihatannya merosot; beliau mula tidak boleh berjalan, dan akhirnya terlantar sahaja di perbaringan. Melihatkan keadaannya, saya semakin kerap pulang ke kampung untuk menjaganya. Suatu saat yang paling membuatkan saya terharu adalah, beberapa hari sebelum peperiksaan PMR, beliau yang terlantar sakit itu datang melawat saya dengan bantuan bapa saudara, semata-mata untuk memberikan kata nasihat dan semangat. Subhanallah, betapa saya menghargai dan mengasihinya, seperti manyayangi ibu saya sendiri. Alahmdulillah, Allah mengurniakan kejayaan 9A yang sebenarnya, hadiah terbesar buat emak yang bersusah-payah menjaga saya sejak kecil. Namun, taqdir Allah mengatasi tadbir manusia, rupanya itulah lawatan terakhir emak sebelum beliau tidak sedarkan diri. Beberapa bulan selepas itu, sakit emak (barah tulang) bertambah serius, dan akhirnya emak menghembuskan nafasnya yang terakhir di pagi Syawal. Sememangnya, itu adalah kehendak-Nya yang Maha Esa. Saya menerimanya dengan berlapang dada serta hati yang redha.
Kenangan bersama arwah mak memang tidak dapat dilupakan. Dua tahun sebelum pemergiannya, beliau banyak menceritakan kepada saya kisah lama yang saya kira, amat-amat berharga. Pernah suatu hari di buaian hadapan rumah, beliau menceritakan tentang bagaimana nenek sebelah abah berjumpa dengannya di tepi sawah sambil menaiki basikal untuk merisik tentang ibu! Kelakar pun ada, menarik pun ada. Kisah lama, memang banyak pengajaran dan sempadannya.
Mengenangkan arwah mak, saya sering berasa sayu. Kami pernah sakit terbaring bersama, tetapi beliau yang pergi dahulu...Mak seorang yang sangat kuat dan tabah. Usia mudanya dihabiskan untuk bekerja keras membanting tulang bagi menyara anak yang seramai 6 orang; masing-masing dengan karenahnya yang tersendiri. Abah (atuk) saya menghabiskan kebanyakan masanya dengan berlayar ke Eropah. Maka emak terpaksa menggalas tanggungjawab ibu dan ayah sekaligus sepeninggalan abah ke luar negara. Sungguh besar pengorbanan yang telah dicurahkan. Daripada mengusahakan sawah, hingga menjual kain baju di kampung yang jauhnya berbatu-batu, beliau tidak pernah culas dalam membesarkan anak-anaknya sehingga mereka menjadi manusia yang benar-benar bergelar 'insan'.
Pagi kelmarin saya bermimpi lagi berjumpa emak. Sudah lama saya tidak 'berjumpa' dengannya. Dalam mimpi ini, keadaannya sama seperti dia menjaga saya semasa tadika dahulu. Dalam mimpi itu, kira-kira jam 4 pagi, saya ke dapur, melihat emak sedang memasak gulai kari ayam. Masakan itu disediakan sebagai bekalan saya ke tadika siangnya nanti. Saya bertanya,"Kenapa emak masak lauk ni awal-awal?". "Mak kena masak awal, lepas Subuh nanti nak tolong abah potong getah", jawab emak. "Ajib rasalah sikit lauk ni" kata emak, tenang sambil memberikan saya sedikit lauk itu untuk dijamah. Ketika itu, saya merasa amat terharu, tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkan lafaz terima kasih atas segala pengorbanannya.
Sejurus kemudian, saya tersedar. Air mata berjujuran dengan sendirinya di pipi. Saya tidak mampu membendungnya lagi. Hanya Allah yang Mengetahui betapa saya rindukan emak. Saya rindu mendengar leterannya. Saya rindu mendengar ceritanya. Saya rindu akan nasihatnya...dan yang paling penting, saya rindu berjumpa dengannya..
Masih segar di ingatan, suatu nasihat beliau yang begitu ringkas, tetapi dalam maknanya,"Ajib belajar sampai berjaya, jangan kecewakan ibu dan abah...". Sehingga saat ini, saya masih lagi ingat akan nasihat itu. Biarpun ringkas, tetapi ia datangnya dari hati seorang insan yang penuh dengan limpahan kasih dan sayang. Nasihat itu lah yang memberi kekuatan buat saya meneruskan sisa perjuangan.
Hari ini, saya berdoa dan terus berdoa, semoga Allah memberi nikmat dan rahmat kepada ruh Allahyarhamah Amnah Bt Aim. Semoga kuburnya menjadi salah satu daripada taman-taman syurga, dan dijauhkan daripada menjadi salah satu daripada lubang-lubang neraka. Na'uzubillah.
Terima kasih emak, atas segala-galanya...
12 comments:
semoga ummi anda dikurniakan tempat di JannahNya. amin.
Saya juga mendoakan untuknya...terkadang mimpi sebegini seolah-olah memanggil saya kembali supaya memperbanyakkan sedekah amal jariah kepadanya...moga saya tidak terus terleka lagi...
Semoga Allah merahmati arwah, dan bertemu kembali kalian di syurga kelak inshaAllah.
ajib?
anyway hmm xsangka napie hidup bpindah randah.. neway, tabah la.. mimpi cm ni kadang2 leh sedarkan kite ttg kematian n ibadat kan..
salam hanafee,
mata sy berkaca-kaca. hati sy padat sebak. semoga arwah emak@nenek awk ditempatkan bersama golongan yg beriman. stay istiqamah napie!
ira: arwah emak selalu memanggil saya dengan paggilan 'ajib'. Ini kerana, semasa kecil, beliau ingin menamakan saya dengan nama itu, tetapi hajatnya tidak kesampaian. Walaubagaimanapun, beliau tetap memanggil saya dengan nama itu.
Ya, saya memang banyak berpindah-randah, macam kaum nomad..namun banyak juga yang telah saya pelajari...
afni: semoga doa anda dimakbulkan oleh-Nya inshaa Allah..
sarah: Hanya Allah Maha Mengetahui betapa perasaan sayu yang menyelubungi hati saya seketika terjaga dari mimpi itu...Perasaan rindu yang terlalu mendalam...sehinggakan air mata tidak dapat tertahan lagi...
Semoga saya dapat terus istiqamah, berbekalkan kata semangatnya yang tidak pernah luntur....
salam..memang sayu takkala membaca kisah napi..serious..buat terkenang nenek and atuk kat kampung...dulu mse skolah pon slalu gak jenguk nenek..tapi alhamduilah nenek saye masih sihat.. faisal doakan semoga Allah merahmati arwah emak@nenek napi..jangan sedey...arwah mesti taknak napi sedey...teruskan perjuangan mu.....
subhanallah akh...
faisal: kepada mereka yang masih lagi punya ruang dan peluang untuk berbakti kepada orang tua mereka, jangan biarkan masa terus berlalu hingga kesempatan itu pergi. Ungkapkan lafaz yang tersimpan...moga mereka bertemu bahagia di hujung usia..
hmm..lafazku yg tersimpan..moge masih punya waktu untuk diri membuktikan rasa kasih di hati..
moge 'emak' tenang di daerah sana..Allahumma ameen..=)
Post a Comment