Monday, September 17, 2007

Ramadhan ini kiranya terakhir untukku…

Aku mengayuh laju basikal Morrison yang kubeli dengan harga 35 dolar ketika garage sale tahun lalu. Perjalanku kali ini menyusuri Riccarton Road, menuju ke suatu destinasi yang tidak asing lagi. Tetapi hari ini tidak seperti hari-hari sebelumnya. “Hari ini ada promosi istimewa di Pak n Save. Twisted Tuesday. Beli dengan harga satu barang, boleh dapat 10! Promosi macam ni bukan selalu, setahun sekali je.. ”, terang Mat kepadaku dengan bersungguh-sungguh sebentar tadi. “Betul ke ni Mat?” bingkasku seolah-olah tidak percaya. “Kalau kau tak mahu pergi, bermakna kau memang benar-benar tak mahu ambil manfaat dari promosi tu.” Jawapan Mat itu membuatkan aku teruja, memandangkan stok makananku selama seminggu telah pun habis. “Ini peluang terbaik untuk berjimat, sambil mendapat ‘pembelian’ terbaik”, bisik hatiku, riang.

Cerah mentari diiringi tiupan angin berpuput lembut, seolah-olah memahami kegembiraan hatiku untuk bertandang ke pasaraya yang penuh dengan pelbagai barangan keperluan pada harga yang terendah di seluruh Christchurch ini. Di sepanjang Riccarton Road, aku melepasi Apollo Motel, sambil pandanganku melirik pada papan iklannya yang sering kali tertera perkataan ‘No Vacancy’. Sudah kumaklum, bahawa di sepanjang jalan ini, memang terdapat banyak rumah penginapan yang sering menjadi tumpuan persinggahan para pengunjung yang bertandang ke Garden City ini.

Tiba-tiba aku tersedar, Riccarton Road yang sebelum ini mempunyai beberapa kesan lubang, hari ini telah pun sempurna diturap permukaannya, terutama pada laluan berbasikal yang sedang ku telusuri itu. “Ah, ini petanda baik!”, desus hatiku perlahan. Perjalanan kuteruskan lagi, kayuhan basikal kulajukan. Sesampainya aku di lampu isyarat berhampiran Ilam Toyota, sekali lagi aku berasa hairan, “Mengapa hanya lampu hijau untuk laluan basikal yang dinyalakan, sedangkan yang lainnya masih berwarna merah?” Namun persoalan itu kubiarkan sahaja tanpa jawapan, dan aku terus berlalu meninggalkan lampu isyarat itu bersama kenderaan lain yang setia menunggu di sana. Matlamatku kian hampir, destinasiku makin kelihatan.

Kini aku tiba di lampu isyarat kedua, yang terletak betul-betul bertentangan dengan Westfield Riccarton, tempat di mana pasaraya Pak n Save tersergam megah, sehebat papan tandanya yang gah berwarna kuning, menjadi trademark yang begitu popular di seluruh bumi New Zealand ini. Sekali lagi rasa harian menjengah diri, lantaran semua kenderaan lain seolah-olah ‘diberhentikan’ untuk memberi laluan kepadaku sampai ke pasaraya itu. “Mereka ni ada komplotkah?” bisik hatiku yang mula mencurigai sesuatu. Namun aku tidak mampu memberikan sebarang masa untuk menanti jawapannya, lantaran aku juga punya komitmen lain selepas ini. Kayuhan kuarahkan ke tempat letak basikal di hadapan pintu masuk Raccarton Mall itu.

Tanpa berlengah lagi, aku terus melangkah masuk. The Coffee Club yang baru dibuka beberapa minggu lalu seolah-olah menjadi landmark yang terletak di tengah-tengah persimpangan empat laluan utama di Mall itu. Aku mengarahkan langkah kakiku ke kanan, menuju ke Pak n Save. Aku mula berkira-kira, barang yang ingin kubeli tanpa risau akan harganya, lantaran aku baru sahaja mendapat gaji bekerja di Kebab Centre pada minggu ini. Alhamdulillah.

Setibanya aku di Pak n Save, mataku hampir terbeliak tatkala benar-benar menyaksikan promosi yang tertera di pintu masuknya: “Twisted Tuesday!! All product; buy 1 get 10!! Only for today!!”. “Wah, memang benar kata-kata Mat sebentar tadi. Promosi ini sungguh di luar jangkaan!” desus hatiku keriangan, sambil senyuman terukir di bibir tanda gembira.

Banyak juga yang kubeli, hampir penuh troli barangan yang ku ambil sebentar tadi. Mana tidaknya, beli satu dapat 10!. Setibanya di kaunter bayaran, baru aku teringat, yang aku hanya datang dengan berbasikal sahaja. Mana bisa aku membawa semua barangan yang ku borong pada hari ini. Aduhai, apa boleh buat, mahu tidak mahu terpaksa juga aku menyangkut semua beg plastik yang penuh barangan makan terutamanya, di handle basikalku. Aku mula tidak yakin, sambil memulakan kayuhanku untuk pulang ke rumah. Saat ini baru aku menyesal, mengapa tidak dahaja ku pandu keretaku ke Pak n Save ini, pastilah tiada masalah seperti ini.

Setibanya aku di persimpangan keluar, tiba-tiba datang sebuah kereta meluncur laju, membelok ke arah jalan masuk ke pasaraya itu tanpa menghiraukan kehadiran ku di situ. Aku menjadi tidak stabil, lalu tanpa sempat mengelak, aku terjatuh menyembam ke bumi. Kepalaku terhentak ke atas jalan. Aku jadi bingung. Semuanya semakin gelap, hitam.

******

Napie, bangun. Dah pukul 4.30 ni”, sayup suara Solihin dari luar pintu menyedarkanku dari lena yang panjang. “Ah, aku bermimpi rupanya!!”. Aku bingkas bangun lalu membasuh muka sebelum keluar ke dapur untuk bersahur. Di dapur, aku mendapati sahabat-sahabat seisi rumahku yang lain sedang khusyuk menikmati juadah sahur masing-masing. Aku hanya sempat memanaskan bihun sup, lebihan berbuka malam semalam.

Usai solat Subuh, aku termangu seorang diri. Mimpi sebentar tadi benar-benar mengajarku sesuatu. Benakku ligat berputar. Ya, ia berkaitan dengan Ramadhan yang sedang kulalui ini. Bulan Ramadhan ibarat suatu promosi yang Allah tawarkan kepada hamba-hambanNya yang tahu akan “Nilai” beribadah kepadanya. Promosi ini hanya berlangsung selama satu bulan dalam setahun. Sepertimana semua jalan ke pasaraya diturap, semua lampu dihijaukan, semua kenderaan lain diberhentikan untuk memberi laluan ku ke sana, begitu juga halnya dalam bulan Ramadhan penuh kemuliaan ini. Padanya dibuka semua pintu syurga, ditutup semua pintu neraka, dirantai segala jin dan syaitan, serta dilipatgandakan pahala setiap amal kebaikan. Amalan sunat dihadiahkan pahala fardu, manakala amalan fardu digandakan sehingga 10 pahala, bahkan ada yang mengatakan sehingga 70 kali ganda.

Subhanallah, ia memang benar-benar tawaran yang istimewa. Mengapakah aku tidak pernah memikirkannya sebelum ini. 4 hari yang berlalu dalam bulan Ramadhan tahun ini, belum dapat kumanfaatkan ke tahap yang optimum. Mungkin, aku terlalu memanjakan diriku. Atau mungkinkah juga tawaran itu tidak menarik minatku? Seandainya aku tidak mahu merebut peluang ini, samalah seperti aku tidak berminat dengan tawaran pahala dan syurga Allah yang amat indah. Na’uzubillahi min zaalik.

Aku menghela nafas panjang. Mungkin inilah caranya Allah mahu mengajarku akan nilai ibadah pada bulan penuh kerahmatan ini. Aku bersyukur, kerana masih belum terlewat untuk tersedar dari lena yang merugikan ini. Syurga itu amat berharga, tinggi nilainya. Masakan dapat dibeli dengan harga yang ‘murah’. Padanya tertagih seribu pengorbanan juga keikhlasan dalam beribadah.

Sejenak kuteringat, akan kata-kata seorang guruku, “Ramadhan bukanlah seperti sebatang tebu, manis di pangkal, tawar di hujungnya. Tetapi pada bulan ini, kemanisan berbadah semakin dirasai di hujungnya, lantaran Allah melipatgandakan pahalanya, lebih daripada permulaannya. Tambahan pula terdapat malam Lailatul Qadar yang lebih baik daripada 1000 bulan”.

Benar, kali ini aku betul-betul merasai akan luasnya sifat Tuhan Ar-Rahman, yang memberikan kesempatan pada hambanya untuk mengumpul bekalan sebanyaknya di bulan yang penuh kemuliaan. Syukur ku tidak terhingga kerana diberi nikmat sihat, untuk aku berpeluang berbadah kepada-Nya. Ia adalah suatu nikmat yang jarang aku syukuri, melainkan apabila ia hilang dari genggaman. Akan ku pastikan ibadahku dilakukan dalam keadaan terbaik. Begitu juga akan kucuba hindari segala dosa yang bisa menghapuskan pahala amalanku, biarpun sekecil melihat sesuatu yang tidak diizinkan.

Andai ini Ramadhan terakhir untukku, akan ku penuhinya dengan semaian cinta ibadahku kepada Tuhan Yang Maha Esa. Aku tidak sanggup untuk mensia-siakannya. Aku tidak mampu membiarkannya lagi berlalu begitu sahaja. Selamat datang Bulan Kemuliaan, hadirmu kunanti, ketibaanmu kurindukan. Moga dapat kuhiasimu dengan tenangnya sujudku pada Tuhan Ar-Rahman….

4 comments:

Anonymous said...

inshaAllah...alhamdulillah...syukron atas peringatan itu...memang bulan ramadhan penuh dgn keberkatan...manusia yg dahulunyer yg kurang bernasib baik..merasakan diri sentiasa cukup dan bersyukur dgn ape yg ade...manusia yg selalu leka dgn dunia..kembali sujud menyembah Allah yg Maha Esa...bertapa nikmatnyer bulan yg penuh dgn barakah...sama2 lah kite melipat kali ganda dan mengambil peluang keemasan utk mengerjakan ibadah kepadaNya...waAllahualam..

Anonymous said...

subhanallah...
aku tersedar dari lena yg panjang...
andai ini ramadhan yg terakhir untuk diriku...adakah ia akan menjadi saksi terbaik untuk diriku kelak??

syukran atas peringatan ini..

Anonymous said...

Sayangnyer...Ramadhan kali ini sgt2 sibuk...Kalaulah dpt rebut peluang mega sale ni kan bagus...
Hm...

h@rne2 said...

benar, Ramadhan kali ini memang benar-benar menguji nikmat kelapangan masa...moga kita tidak terlalu terleka dengan kesibukan dunia...