RINDU....Aku merinduimu....Itulah keluh hatiku kebelakangan ini. Ada sahaja yang tidak kena pada kerja buatku. Tapi bagaimana mahu kulepaskan rindu ini? Dia berada terlalu jauh...tidak tercapai kudrat ini untuk bertemu dengannya. Tetapi hati ini makin rindu. Rindu yang hanya Allah yang Tahu. Rindu mendengar suaranya yang seringkali menghamburkan nasihat buat diri yang amat mentah pada kerumitan kehidupan dunia ini. Bagaimanakah keadaannya sekarang? Bahagiakah dia di sana? Sudah lama aku tidak mengirimkan 'hadiah' kepadanya. Pasti dia sunyi...Ahh, rasa bersalah mula menusuk hati..
Rasa seperti ini datang sesekali sahaja. Namun ia sering diiringi oleh 'pertemuan' dengannya. Dan malam itu aku amat bersyukur kerana dapat bersua muka dengannya setelah sekian lama rindu mendamba. Aku sedang mengambil wudu', tatkala melihat kelibat insan yang begitu bermakna dalam hidupku itu sedang menuruni tangga. Aku memalingkan pandangan ke arahnya. Aku tergamam. Terkesima. Benar, dialah insan yang sering kurindui selama ini. Kini dia benar-benar berada di hadapanku. Titisan wudu'ku bercampur air jernih yang mula bergenang di kelopak mata. Tangisan ini tidak dapat ditahan lagi. Gembira bersulam sebak di dada lantaran rindu yang terlalu lama.
Aku lantas memeluknya erat, bagaikan tidak mahu melepaskannya lagi. Air mata ini semakin laju berjujuran. Untuk seketika, tiada bait lafaz yang mampu terucapkan. Hanya linangan air mata yang menghiasi pertemuan kami kala itu.
"Ajib rindu...mak", bisikku dalam tangisan. Dia seolah-olah mengerti perasaanku kala itu, lalu mengusap kepalaku penuh kasih sayang. "Emak pun rindu.." jawabnya perlahan, sambil bibir tuanya perit mengukir senyuman. Air mata ini semakin tidak tertahan lagi. Aku terharu.
Seketika, aku menatap wajahnya yang tenang bercahaya. Sejuk hati ini terasa. "Cantiknya baju emak pakai hari ni", aku seolah-olah gembira melihat keadaannya yang indah berseri-seri. Aku teringat baju itu seperti yang pernah dipakainya pada hari raya dahulu. "Hari ini emak dapat berehat, berjalan-jalan. Emak datang nak jumpa Ajib...",jawapannya itu cukup untuk membuat hati ini tenang dan senang.
Namun, sejenak kemudian, kelibatnya semakin sirna oleh kilauan cahaya yang amat terang. Pandanganku silau. Aku tidak mampu untuk melihatnya lagi, walau pinta hati ini terlalu menginginkannya. Dalam kesamaran itu aku cuba untuk menjejaki kelibatnya, namun gagal. Akhirnya bayangnya terus hilang dari pandangan...
Aku terjaga. Tanpa kusedari air mata sudah pun berlinangan di pipi. Tangisan itu tidak mampu kubendung. Aku rindu, benar-benar rindu padanya. Dan pertemuan sebentar tadi bagaikan memberi peluang untuk ku melepaskan ridu, biarpun untuk sekejap cuma. Itu pun sudah membuatkan ku lebih daripada bersyukur.
Emak, insan yang melahirkan ibuku dan menjagaku sejak kecil, begitu bermakna dalam coretan hidupku. Biarpun berpangkat seorang nenek, namun keakrabanku dengannya membuatkan aku memanggilnya 'emak'. Dia tidak pernah memarahiku, tetapi kerlingannya sudah cukup untuk membuat darahku berderau. Dia yang mengajarku erti kesusahan tatkala kesenangan menjadi ujian. Dia yang mengubat sunyiku ketika aku di kejauhan. Dialah permata hatiku, meskipun tampak usang di pandangan.
Dan kala itu, aku bersyukur lantaran dihadiahkan pertemuan penuh kesyahduan dengannya, di bulan Ramadhan yang mulia. Gembira melihatnya dengan pakaian yang serba indah, seolah-olah sedang berhari raya. Mungkin inilah makna 'kerehatan' padanya, yang hanya dimiliki setiap kali Ramadhan menjelang. Tetapi sesudah itu, apakah pula nasibya di sana? Bisakah dia selalu bahagia?
Sejenak, aku cuba berkira-kira, berapa banyakkah 'hadiah' yang sudah kuberi padanya..Ternyata bilangannya terlalu kecil, tidak terbanding oleh jasanya yang bersusah payah menjagaku ketika kecil, mengangkatku sambil berjalan ke klinik ketika aku tidak mampu bergerak, mengubat lukaku, dan selautan bakti yang dicurahkan dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang. Emak, Ajib sedar, Ajib bukanlah seorang cucu yang mengenang jasa. Hadiah ini hanya kuberikan pabila rasa rindu menerpa leka.
Namun, belum terlambat kiranya untuk kuterus berdoa, moga segala pahala amalan kebaikanku dihadiahkan pada emak, buat bekalannya di sana. Moga emak tidak sunyi lagi. Salam sayang penuh rindu daripada seorang cucu yang masih di dunia....
6 comments:
salam
sayu tatkala membaca coretan ini terutama sekali apabila nenek sy baru pergi ke rahmatullah beberapa hari yang lepas.Semoga roh mereka dicucuri rahmat, Insyaallah
salam...
ucapan takziah atas pemergian insan yang bermakna..doakan moga mereka bahagia di daerah sana inshaAllah..
salam..
tuhan saja yg tahu betapa terkesannya coretan ni pada sy skrg..nenek sy mmg tgh x berape sihat..begitu juga dgn org tua sy..hm..moga masih ada masa utk bersama mereka......
salam...
bintangmalam, sekadar ingin berkongsi, ketika arwah nenek sedang sakit, saya tidak sempat memberitahunya kejayaan saya dalam peperiksaan PMR. Oleh itu, gunakan masa yang ada untuk bersama-samanya sebelum terlewat...
salam
sekadar perkongsian..sy pernah janji dgn nenek sy tuk jd doktor supaya dpt cari ubat untuk sakit dia..sy sedih tengok tiap kali tengok dia terpaksa menghadapi sakit nya tp Allah lebih sygkan dia. sy akur dan redha. belum pun sempat sy jadi doktor, dia dah meninggalkan saya dulu tahun lepas..
hmm sesungguhnya Allah yg lebih tahu. ketahuilah ujian tu hanya untuk hamba2 yg Dia syg.
salam..
dahulu ketika di zaman persekolahan, saya tinggal dengan emak. Beliau tidak pernah memarahi saya supaya belajar, tetapi entah bagaimana rasa itu datang sendiri. Mungkin terbit dari simpati melihatnya bersusah payah menjual kain ke hulu dan ke hilir..Pesannya mudah, ringkas tetapi penuh makna. Ajib belajar rajin-rajin sampai berjaya...
Post a Comment