Monday, February 11, 2008

Kita mahu jadi Mukmin atau Professional?



Suatu hari seorang rabai bersama seorang paderi menyaksikan suatu pertandingan tinju. Ketika peninju pertama naik ke gelanggang, beliau seolah-olah melukis tanda salib di dadanya, seperti mana yang banyak dilakukan oleh atlit sukan terkemuka tatkala acara bakal bermula.
Melihatkan aksi peninju membuatkan rabai itu berfikir, lalu pantas terbit soalan dari bibirnya kepada paderi, "Apakah makna di sebalik perbuatan peninju itu melukis lambang salib di dadanya?". Jawab paderi,"Perbuatan itu tiada makna sendainya dia tidak tahu bertinju".

Kisah ini meskipun ringkas, namun padat dengan ibrah buat panduan mereka yang berfikir. Lambang salib itu boleh dikaitkan dengan 'keimanan' peninju itu kepada Tuhannya. Biarpun hidupnya sehari-hari jauh dari ketaatan kepada agama, tetapi di saat-saat getir seperti itu, rasa bertuhan tetap tegar di sudut hati yang paling dalam. Detik itu, dia benar-benar mengharapkan pertolongan dari Yang Maha Kuat, agar dapat dikalahkan musuhnya itu dengan mudah. Di situlah terbitnya rasa 'beriman' kepada Tuhannya.

Namun, iman sahaja belum tentu cukup untuk menjadikannya peninju agung, bak kata paderi itu. Tanpa latihan yang cukup, masakan dia dapat membaca gerakan pantas lawan yang sentiasa mencari peluang. Pastilah di sana memerlukan persediaan yang mantap, sehingga dia benar-benar layak untuk digelar 'pakar' dalam bidang tinju.

Gabungan kedua-dua elemen ini, iaitu kepercayaan atau keimanan dan kepakaran atau professionalisma, membentuk suatu sinergi yang seimbang. Dari sinergi ini maka lahirlah peribadi-peribadi agung seperti yang telah dinukilkan oleh sejarah lampau. Biarpun hal ini diperkatakan oleh mereka yang bukan beragama Islam, aqidah mereka tidak berpaksikan tauhid kepada Allah S.W.T., namun harus diingat, kebenaran tetap kebenaran. Lihatlah pada apa yang diperkatakan, bukan semata-mata siapa yang memperkatakannya. Di dalam Al-Quran, Allah pernah membenarkan kata-kata Ratu Balqis berkenaan lazim kelakuan raja-raja apabila mereka memasuki kampung; mereka akan melakukan kerosakan dan memusnahkan segala harta benda. Biarpun Ratu Balqis itu mensyirikkan Allah dengan menyembah matahari, namun dek kerana benar dakwaannya itu, maka Allah merakamkannya di dalam Al-Quran, kitab panduan suci umat Islam.

Wahyu pertama


Sebetulnya, saranan menjadi mukmin yang professional ini telah pun disampaikan mesejnya oleh agama Islam sejak bermula penurunan wahyunya ke muka bumi ini. Lihat sahaja pada ayat pertama surah Al-'Alaq. Allah memerintahkan kita membaca sebagai lambang kepada menuntut ilmu dan membina kepakaran. Dengan ilmu, kita bisa mampu mencapai tahap professional. Namun professionalism sahaja tidak cukup, kerana itulah di akhir ayat, Allah menekankan supaya membaca itu hendaklah dilakukan dengan nama Allah Yang Menciptakan. Di sini terdapat unsur-unsur keimanan kepada Allah selaku Dzat Yang Maha Agung. Sungguh indah susunan ayat ini sehingga menjadikan ia begitu lengkap dan sempurna, sebagai panduan buat mereka yang MAHU mengambil iktibar.

Jika benar Islam menganjurkan kita menjadi mukmin yang professional, maka mengapa kala ini terlalu ramai yang leka, menyebabkan hampir kesemua lapangan professional dipelopori oleh mereka yang tidak beriman? Dan jika ada yang bergelar professional, entah ke mana imannya dicampaknya begitu sahaja? Jawapannya ada pada diri kita sendiri.

Membina Bangunan



Rahsia kepada kehebatan seseorang bergantung kepada sekukuh mana dia berpaut kepada asas yang menjadi tunjang kepada kejayaan diri. Jika kita ingin membina sebuah bangunan setinggi 483 meter, maka kita perlu menanam cerucuknya, sejauh 483 meter ke dalam tanah. Barulah bangunan itu bisa stabil dari gempa atau bencana alam yang sewaktu dengannya. Saya teringat baru-baru ini, para pengkaji bumi telah mendapati bagi setiap gunung, terdapat suatu unjuran ke dalam bumi yang sama dengan ketinggian gunung itu, yang juga dikenal sebagai 'peg' atau pasak kepada bumi. Hakikatnya, perkataan yang serupa juga telah dinukilkan di dalam Al-Quran bagi menerangkan fungsi gunung lewat 1400 tahun yang lalu. Apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah, kita memerlukan kepada asas yang sangat kuat untuk kita mencapai kehebatan, agar hebatnya kita nanti tidak menjauhkan kita dari Yang Maha Hebat.

Persoalan asasnya adalah pada mengenal Tuhan yang menciptakan diri ini. Mengapa perlu kenal pada Tuhan? Ini kerana dia yang menciptakan kita. Pasti Dia Maha Arif dengan tujuan hidup kita, panduan yang terbaik untuk kita, dan segala-galanya yang berkaitan dengan seluruh makhluk ciptaanya, lantaran Dia adalah Sang Pencipta. Apabila ditanya kepada Tuhan tentang tujuan hidup kita, maka Allah menjawab tiada tujuan lain kita dituskan ke bumi, melainkan untuk beribadah kepada-Nya.

Hidup beribadah

Kalau begitu, adakah bermakna kita perlu solat, membaca Al-Quran dan berzikir sepanjang masa, sepertimana definisi 'ibadat' yang difahami kebanyakan orang dewasa ini? Sudah pastilah hidup akan menjadi hambar jika saban hari sebegitu rupa. Kerana itulah kita perlu memperbetulkan kefahaman, bahawa ibadah itu adalah sangat luas, meliputi makan, tidur, belajar, bersukan, bermasyarakat, bahkan apa sahaja asalkan ia dilakukan dengan niat kerana Allah dan tidak melanggar syariat. Dengan itu, setiap inci kehidupan kita bisa jadi ibadah kepada-Nya.

Tatkala kita sudah mengenali Tuhan, dan tujuan hidup, barulah mudah untuk kita mentaati syariatNya. Dan syariat Islam adalah bersifat menjuruskan penganutnya menjadi seorang Mukmin yang professional. Lihat sahaja pada tatacara hukum jual beli, bermasyarakat, interaksi dengan alam, bahkan selautan bidang ilmu yang dianjurkan oleh Islam kepada penganutnya. Dan penguasaan ilmu itu pula disaluti oleh aqidah yang benar kepada Allah S.W.T.

Terasa panjang pula celoteh saya kali ini. Moga ada manfaat untuk kita di kemudian hari. Mulai hari ini, kita sama-sama tanamkan azam untuk menjadi seorang mukmin yang professional. Siapa tahu, mungkin suatu hari, peninju agung yang merangkul gelaran juara adalah seorang Mukmin, yang benar-benar professional dalam kerja buatnya....inshaaAllah

5 comments:

Anonymous said...

bagaimanakah kita bersedia kearahnya??

Anonymous said...

memang senang untuk diutarakan, mudah juga untuk diperdebatkan. tapi sejauh mana kita dapat merealisasikannya, tepuk dada tanya iman.

harap kita semua dapat menjadi kedua-duanya. InsyaAllah...

h@rne2 said...

inshaaAllah di entry akan datang, saya akan cuba menggariskan bagaimana caranya untuk menjadi seorang mukmin professional. Terima kasih di atas komen yang membantu..

Anonymous said...

salamun 'alaikum

Subhanallah, sungguh cantik huraian ko. Nothing much to say...tahniah ya akh

NuR^QaLBi said...

salam'alaik..
hmm,nice entry..
moga menjadi manfaat tiap hati yg menghayati..inshaaALLAH..;)