Sunday, June 03, 2007

Pedulikah kita?..


Winter yang panas, Christchurch Birds Show 2007


Saat saya menaip entri ini, peperiksaan akhir semester hanya berbaki 17 hari. Suatu tempoh waktu yang terlalu singkat sebenarnya. Apa sekali pun, saya perlu menumpahkan seluruh tenaga dan pengorbanan untuk membuktikan bahawa Islam itu unggul dan dinamik dalam segenap aspek kehidupan.


Bercakap tentang Islam, kala ini isu yang sering terngiang-ngiang di minda saya adalah, kes murtad Lina Joy. Pertamanya, syukur ke hadrat Allah atas kurniaan kejayaan buat umat Islam untuk mempertahankan status 'agama' mereka. Dalam sebuah ceramah, seorang peguam pernah berkata, seandainya Lina Joy menang dalam kes ini, pastilah masa depan umat Islam di Malaysia akan terancam. Kumpulan artikel 11 akan tampil berani mengemukakan pelbagai lagi 'appeal' yang berbau sentimen keagamaan dan perkauman yang semestinya akan menggugat kestabilan hubungan masyarakat di negara kita. Saya tidaklah berhajat untuk menceritakan satu persatu apakah 'consequences' sekiranya kemenangan berpihak kepada Lina Joy dan peguam-peguamnya. Cumanya, cukuplah sekadar menyatakan gambarannya amat mengerikan.


Walaubagaimana pun, apa yang perlu diberi perhatian lebih adalah reaksi masyarakat kita. Tatkala kes ini mendapat liputan utama di akhbar-akhbar, orang ramai mula memberikan reaksi, bersuara lantang dan mengambil pelbagai tindakan yang melambangkan 'response' mereka terhadap apa yang berlaku. Ada yang marah, ada yang berang, namun tidak ketinggalan ada juga yang tidak peduli langsung tentang agama mereka. Lalu terbitlah persoalan di benak saya yang kerdil ini; adakah kita selama ini bersikap 'reactive'? Reaktif dalam erti kata hanya memberi respon apabila sesuatu perkara terjadi. Lantaran itu, tidak hairanlah jika kita melihat ramai orang yg cepat melatah dan terusik dengan senario yang berlaku di persekitaran mereka. Tetapi sikap seperti ini biasanya tidak bertahan lama. Baka kata orang kampung saya, "Hangat-hangat tahi ayam". Sekejap sahaja panasnya.


Besikap dengan sikap Pro-Aktif.


Bagi saya, apa yang lebih penting adalah sejauh mana kita bersikap 'pro-active' dalam berhadapan dengan isu genting seperti murtad ini. Ramainya orang yang ingin keluar dari agama Islam, bukanlah kerana mereka secara semulajadi lemah iman atau tidak percaya kepada Allah, tetapi kerana kurangnya usaha daripada orang-orang Mukmin yang faham untuk menerangkan suluh cahaya tentang keindahan Islam kepada mereka. Lets put the blame on ourselves. Ketika mereka dalam keadaan memerlukan, di manakah saudara Muslim yang berkemampuan untuk memberi mereka biarpun sekecil pertolongan yang melegakan? Di saat mereka menjadi yatim, di manakah saudara Muslim untuk memberikan mereka perlindungan dan pembelaan? Di kala mereka tercari-cari hidayah, ke manakah perginya saudara Muslim yang lain untuk menunjukkan hala tuju aqidah Islam yang sebenarnya? Di mana?..


Kita tidak perlu menjadi seorang ustaz untuk menyelamatkan akidah saudara seislam kita. Cukuplah dengan menjadi diri kita sendiri, asalkan kita sedar akan hak dan tanggujngjawab seorang Muslim terhadap saudaranya sendiri. Bertitik tolak daripada kesedaran itu, kita akan meletakkan sepenuh usaha untuk memastikan kelangsungan dan kestabilan hidup sebagai orang Islam akan terus terjaga.


Ada yang berkata, adakah Islam itu hanya bermakna pada kad pengenalan sahaja? Penting sangatkah perkataan Islam itu tertera di IC kita? Biar dicetak dengan font 20 bold sekalipun, sendainya Islam itu tidak menjadi cara hidupnya maka tiada juga maknanya.


Pada pendapat saya, dalam hal ini, kita tidak seharusnya bersikap pesimistik. Jangan mudah menilai dan menghukum seseorang berdasarkan pandangan mata kasar sahaja. Kita tidak tahu nilai hati budinya. Jangan sesekali memperkecilkan amal islami saudara kita yang lain. Setiap amalan itu punya nilai tersendiri di sisi Allah, bergantung kepada keikhlasan dan pelaksanaannya. Hidayah Allah bukan milik kita semata-mata. Meskipun kita Muslim dan Mukmin hari ini, tapi belum tentu lagi esok bagaimana. Jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan berbekalkan sifat taqwa. Dengan taqwa, hati akan bersih dari segala penyakit yang menjadi racun membunuh persaudaraan sesama Islam.


Masalah murtad ini, bukanlah hanya perlu difikirkan oleh pihak-pihak berwajib seperti Jabatan Agama, Mahkamah Tinggi, Majlis Peguam Negara, FROKAD dan pihak kerajaan, tetapi setiap kita juga perlu mengambil cakna akan perkembangan ini. Perjuangan menyelamatkan akidah Islam adalah perjuangan setiap individu Muslim yang ada di negara kita. Rapatkan jurang 'perbezaan' yang menyempadani kesatuan kita selama ini, demi suatu matlamat dan cita-cita yang lebih utama. Jangan sampai apabila masalah itu benanr-benar kena atas batang hidung kita, barulah kita tercari-cari jalan untuk bertindak. Orang kampung saya juga pernah berkata, "Bila terhantuk baru nak terngadah". Saat itu, menyesal air mata darah sekalipun sudah tidak berguna. Tanggungjawab ini tergalas di bahu kita, selama mana kita bergelar Muslim. Semoga kita tidak menjadi Muslim 'part-time' lagi selepas ini.

Kata orang kampung saya lagi,"Sesal dahulu pendapatan..."

Hari ini, Islam yang syumul ibarat suatu fantasi di awangan tinggi...indah tetapi tidak nyata. Sebaliknya, Islam yang menjadi realiti berada dalam keadaan yang amat menyedihkan. Dan sifirnya mudah, sehebat mana sekalipun fantasi itu, ia tetap akan dikalahkan oleh realiti. Oleh itu, di lubuk hati kita yang memahami Islam ini, perlulah ditanamkan azam dan dicerminkan melalui usaha untuk mengembalikan Islam yang syumul itu sebagai satu realiti di suatu masa nanti..

"Al Islamu Ya'luu Wa Laa Yu'laa 'Alaihi"

Allahumma Ameen....




2 comments:

NuR^QaLBi said...

Hmm..betul kate awk..kite tak boleh jd Muslim part time..buat yg separuh, tinggalkan separuh..NauzubiLLAHi minzaalik..

cume kdg, rase takut bile berdepan dgn realiti masyarakat..sesuatu yg mungkar jadi 'kebiasaan' pd kite..dah mule hilang sensitif disebabkn semua tu dah terlalu biase di depan mata...ni lah fitnah paling besar di akhir zaman..ya ALLAH...=(

segala kemungkaran jd kebiasaan, malah paling sedih,pengamalan islam jadi suatu yg asing lagi 'dagang'...

Islam dtg dalam keadaan dagang, dan akan pulang jua dlm keadaan dagang...

koreksi diri..baiki peribadi..

h@rne2 said...

akhir zaman ni, dah makin berkurang org yg sedar pentingnyer islam dalam kehidupan...

disebabkan islam tu tak diamalkan, maka banyak berlaku kerosakan, kemungkaran dan sebagainya..

kite kene kembali yakin, bahawa hanya dengan islam yang sebenar, rahmat Allah akan kembali memayungi kehidupan kita..

moga keyakinan tu akan bertambah dan tidak berubah...