Sunday, October 01, 2006

Berbangga dengan gelaran HAMBA..

Kala ini, jam 4 pagi setelah 'daylight saving' bermula, mata saya masih belum mahu lelap menerbangkan diri ke alam mimpi..entah kenapa, badan terasa penat, namun mata masih tidak mahu tidur. Harap-harap 'biological clock' saya tidak berubah lagi..

Sejenak terkenang peristiwa hitam 27 September, Alhamdulillah saya kini beroleh kekuatan dan keupayaan untuk meneruskan kehidupan dengan redha tanpa mempersoalkan nasib yang menimpa. Saya teringat suatu cerita, seorang bapa di Kedah, anak perempuannya dirogol dan dibunuh oleh PATI Indon, (Pendatang Asing Tanpa Izin). Bapa itu meratap sedih lantas mempersoalkan taqdir, mengapa suratan sebegitu rupa harus menimpa dirinya....Dalam suatu ketika lain, saat Tsunami melanda yang menyaksikan gelombang ombak itu menelan dan mengebumikan beratus-ratus nyawa, muncul seorang bapa menjawab persoalan pemberita akan kematian kesemua ahli keluarganya. Dengan tenang dan penuh kesabaran, beliau menjawab...semuanya itu adalah pinjaman Allah, sekarang telah tiba masa Allah mengambilnya semula...Mendengar jawapan itu, hati saya tersentuh dan terharu...betapa kuatnya jiwa si ayah itu. Saya pasti, jawapan itu adalah gambaran jiwa dan hatinya yang betul-betul yakin dan percaya akan taqdir Allah yang maha indah. Cuba kita bayangkan, keluarga yang telah dibina dengan jerih penat selama berpuluh-puluh tahun hilang dalam masa beberapa minit sahaja di hadapan mata. Andai kita berada di tempat si ayah itu, tanpa jiwa yang kuat, mampukah kita menerimanya dengan redha, lantas menzahirkan sebuah jawapan setabah itu?

Persoalan ini sebenarnya menyentuh kesedaran akan hakikat diri kita sebagai hamba Allah di dunia ini. Ibarat seorang hamba raja yang diberikan makan, perlindungan dan pakaian, dia menggunakan segalanya tanpa rasa memiliki secara kekal akan nikmat-nikmat yang dikecapinya itu. Lantas, bila sahaja nikmat itu diambil semula, dia tetap berasa bersyukur kerana pernah menerima nikmat itu selama ini. Apakah relevannya dengan realiti hidup kita hari ini? Ya, kita adalah hamba kepada Raja segala Raja. Allah Subhanahu Wata'ala. Dia lah Tuhan yang memberikan rezeki dan nikmat tanpa berkira-kira kepada kita sejak di alam rahim lagi, (Alam rahim adalah alam kasih sayang seorang ibu kepada anaknya). Nikmat demi nikmat dilimpahkan, tanpa mengira kita bersyukur, lupa, mahupun mendustakannya. Namun, Nikmat adalah ujian. Kerana itu ramai manusia terlupa akan dua perkara:
1) dirinya masih lagi seorang hamba
2) nikmat yang dikecapi tiada satu pun miliknya yang hakiki

Oleh kerana mereka terlupa akan 2 perkara penting ini, maka mereka menjadi cinta kepada nikmat dunia, sehingga terlupa kepada pemberi nikmat itu sendiri. Umpama seseorang yang terlalu memuja sesebuah hadiah, lebih daripada pemberi hadiah itu sendiri. Pelik bunyinya bukan? tetapi hakikatnya itulah yang berlaku pada manusia kebanyakan...

Saya teringat akan cerita seorang pengembala dan kambing-kambingnya yang banyak. Menariknya, pengembala ini menternak kambing-kambingnya mengikut kelompok-kelompok keluarga. Setiap keluarga kambing, ditempatkan di dalam kandang berasingan. Suatu hari si pengembala ingin menyembelih 4 ekor anak kambing daripada sebuah unit keluarga. Maka si pengembala itu pun bertanya kepada kedua ibu bapa kambing itu,"Bolehkah saya menyembelih 4 ekor anak-anak kamu?". Maka apakah jawapan ibu kambing yang menyayangi anak-anaknya itu? Sudah tentu tidak, kerana ia amat kasihkan anak-anaknya yang comel dan manja, walaupun mandi bukan kebiasaan harian mereka. Persoalannya di sini, wajarkah si pengembala itu bertanyakan soalan sedemikian kepada ibu dan bapa kambing-kambing itu? Jawapannya tentulah tidak wajar, bahkan tidak perlu, lantaran bukan sahaja anak-anak kambing itu, malah kedua ibu-bapa mereka juga adalah milik si pengembala. Terpulanglah kepada pengembala itu untuk melakukan apa sahaja, mengikut kehendak dan kebijaksanaannya. Allah S.W.T adalah pemilik hakiki setiap makhluk di muka bumi. DIA lah pemilik si anak, ibu, bapa, bahkan sehingga nenek moyang berabad generasi lamanya. Dia berhak melakukan apa sahaja mengikut kehendak dan kebijaksanaan-Nya. Sebagai hamba, apakah kita layak untuk mempersoalkan qada' dan qadar Allah, hanya kerana ia membunuh rasa selesa kita hidup di dunia ini? Pastikah kita bahawa setiap sesuatu yang kita suka membawa kebaikan kepada kita atau sebaliknya? (rujuk 2:216) Inilah jawapan kepada si ayah yang meratapi kematiannya anaknya seperti yang disebutkan sebelum ini.

Sedarlah, bahawa diri kita adalah HAMBA ALLAH. Meskipun kita KAYA, biarpun kita SIHAT, walaupun kita BERKUASA, namun semuanya itu tidak seharusnya membiaskan kita daripada mengenali hakikat diri yang sebenar. Kita tetap hamba. Redha dan bersyukur dengan gelaran itu. Untuk menjadi redha, kunci yang perlu dipegang adalah BERSANGKA BAIK kepada Allah S.W.T. Biarpun terkadang sukar, namun berusahalah untuk meyakininya. DIA adalah seperti mana sangkaan hamba-Nya. Dengan itu, insyaAllah, kita akan mampu menerima segalanya dengan tenang dan sabar, seperti mana si ayah yang redha menerima pemergian kesemua ahli keluarganya..Moga SIKAP ini menjadi contoh teladan buat kita di hari muka...

1 comment:

Rebecca Ilham said...

Salam.

Alhamdulillah.
Lega mendengar anda telah bounce back daripada kesedihan.