Tuesday, October 31, 2006

Post Raya Syondrome

Alhamdulillah...tamat sudah sebulan berpuasa.. Raya tahun ini mengundang pelbagai cerita menarik untuk dikongsi. Apa yang pasti, ia lebih meriah berbanding tahun sudah. Pagi Aidilfitri diisi dengan solat hari raya dan jamuan ringan di Ilam Common Room. Apa yang menariknya, 'Clown' disewa untuk menghiburkan kanak-kanak, tetapi menjelang tengahari, baru saya sedar, yang mengerumuni clown itu semuanya abang-abang dan kakak-kakak sahaja (penulis juga tidak terkecuali). hm mungkin ketika kecil kami tidak berkesempatan untuk merasa itu semua. Jadi, di kesempatan yang ada, di hari raya pula, gunakanlah sebaik-baiknya bukan?...=)

Keesokan hari, seronok sakan berjalan raya ke rumah post grad dan PR beramai-ramai. Saya pasti, suasana sebegini pasti sukar didapati di tanah air, lantaran rakan-rakan 'sekepala' kebanyakannya pulang ke kampung masing-masing untuk beraya. Kesannya, setiap kali pulang ke kampung, kita akan terasa seperti orang asing (termasuklah saya juga) lantaran sudah tidak kenal akan saudara-mara terutama yang jauh, bau-bau bacang. Mana tidaknya, kebanyakan masa sepanjang tahun dihabiskan bersama rakan-rakan di bandar, maka apabila pulang ke kampung, jawabnya tidak kenallah saudara-mara yang jauh-jauh itu. Kerana itu lah, budaya ziarah-menziarahi amat penting kita pertahankan. Jangan biar malas menguasai diri. Mahu menonton tv, alasan yang selalu bermain di bibir. Jika kita berterusan begini, tidak mustahil suatu hari kita akan bermuka sombong, walaupun dengan saudara kita sendiri!!

Lebih menarik, buat pertama kali, "Jejaka 301" membuat open house, atau lebih dikenali dengan rumah terbuka. Pengalaman yang amat menarik untuk dicoretkan. Bukan mudah untuk kami melakukannya buat kali pertama, tetapi apa pun yang berlaku, kami cuba sedaya-upaya. Alhamdulillah berhasil. Menu utama:
1) Nasi Kerabu Kuning (Yellow to Wednesday Rice)
2)Kari Ayam (Chicken Curry)
3) Ulam Raja (Bukan Raja Riduan yer..)
4)Nasi Impit (Squished Rice)
5)Kuah kacang (You-are-so-nutty-sauce)
6)Muffin (Half fat as it is already cut into half)
7)Sirap Selasih Tanpa Selasih
8)dan banyak lagi...malas nak taip

Tujuan kami memikirkan nama-nama Inggeris untuk hidangan kami adalah, kami beranggapan ramai juga rakan-rakan non-Malay akan datang. Sekurang-kurangnya mereka faham. Tetapi hanya Bernard dan Lam sahaja yang hadir. Tidak mengapalah. Apa-apa pun, kami belajar sesuatu daripada rumah terbuka itu. Bak kata seorang rakan yang pandai memasak, 'makanan biar berlebih, jangan tidak cukup'. Jika tidak, itulah akibatnya. Barulah terpaksa membeli ayam, dan beberapa masalah susulan berlaku. Tidak mengapa, yang penting kami berasa puas hati dan lega segalanya telah selesai.

Mungkin kerana kejutan penerimaan makanan yang pelbagai jenis dalam masa serentak, saya diserang demam dan beberapa penyakit lain (sensitif untuk disebut di sini). Hinggakan termuntah-muntah. Nasib baik perut tidak meragam semasa periksa. Kelmarin, ada dua lagi jemputan majlis hari raya. Saya amat berat hati untuk pergi, lantaran punya exam keesokan harinya, sedangkan saya baru selesai membaca 50% daripada keseluruhan subjek. Tetapi demi tidak mengecewakan jemputan orang yang menjemput, saya gagahkan juga kaki untuk menekan minyak kereta. Selesai beraya, saya tertidur lantaran kepenatan. Baca pun tidak memberi kesan. Malamnya, lantaran bacaan sendiri tidak berkesan, saya berkunjung ke rumah rakan-rakan Maidstone. Ramai sungguh mereka di sana. Saya juga tidak dapat menumpukan perhatian sebenarnya. Kepala terlalu bercelaru. Gerun saya melihat rakan-rakan membincangkan soalan past year, sedangkan saya seolah-olah tidak tahu apa-apa. Ditambah pula dengan perut yang meragam, makin menjadi-jadi peningnya. Akhirnya, setelah selesai membuat past year (menyalin jawapan sebenarnya), saya pulang
dengan harapan dapat mengulangkajinya di rumah. Tetapi tidak juga. Cek emel dan tertidur. Pagi esoknya, Alhamdulillah, Allah menggerakkan saya untuk membaca latihan past year yang saya tinggalkan malam tadi. Maha suci Allah, soalan exam adalah sama seperti latihan past year yang baru saya baca. Syukur saya panjatkan ke hadrat Allah kerana memberi kemudahan kepada saya. pengajaran daripada cerita ini:
1) Penuhi hak saudaramu yang menjemputmu
2) Jangan berusaha sehingga last minute, kerana nasib baik tidak selalu bersama kita
3) Pohonlah bantuan Allah di saat tenang dan cemas. InsyaAllah Allah tidak akan membiarkanmu keseorangan.
4) Put our trust in Allah.

Saat ini, perut semakin pulih lantaran ginger beer yang berjaya mengeluarkan angin-angin yang tidak perlu tetapi suka untuk bermukim di dalam perut saya. Semuanya atas kekuasaan-Nya jua. Syukur. Sekian..

Monday, October 23, 2006

Perginya Ramadhan yang dilupai..

Alhamdulillah, sampai juga umur saya Allah pinjamkan ke penghujung Ramadhan ini. Suatu tempoh 'latihan diri' yang penuh bermakna. Malam ini, entah kenapa, saya terasa amat sedih. Mungkin kerana perginya Ramadhan ini tanpa sempat saya membersihkan dan memperbaiki diri sebaik-baiknya. Mungkin juga kerana saya gagal menyempurnakan segala ibadah yang dirangcang selengkapnya. Adakah saya masih punya kesempatan temu Ramadhan tahun hadapan? Saya pun tidak pasti. Moga ibadah saya ini diterima. Moga saya dapat istiqamah, kerana salah satu tanda sesuatu amalan diterima ialah, istiqamah dalam melakukannya.
Esok petang saya akan mengikut abang Hamdan menaiki Cashmere Hill untuk melihat anak bulan. Saya amat berharap ia akan kelihatan esok, lantaran Mekah telah pun menyambut Aidilfitri hari ini. Australia pula esok hari. Tambahan pula, saya punya peperiksaan EMATH271 pada pagi 25/10 nanti. Apa-apa pun, saya serahkan kepada Allah S.W.T. untuk menentukannya. Buat akhirnya, suka sekali saya memetik serangkap pantun yang dipopularkan oleh Encik Tat:

Anak sotong di dalam laut,
Anak laut di dalam sotong,
Itu sotong berenang di dalam laut,
Tidak terdapat di taman burung.


Salam Aidilfitri kepada semua. Ampun maaf saya pohonkan atas segala keterlanjuran kata dan perbuatan. Moga berbahagia di hari lebaran mulia...

Sunday, October 01, 2006

Berbangga dengan gelaran HAMBA..

Kala ini, jam 4 pagi setelah 'daylight saving' bermula, mata saya masih belum mahu lelap menerbangkan diri ke alam mimpi..entah kenapa, badan terasa penat, namun mata masih tidak mahu tidur. Harap-harap 'biological clock' saya tidak berubah lagi..

Sejenak terkenang peristiwa hitam 27 September, Alhamdulillah saya kini beroleh kekuatan dan keupayaan untuk meneruskan kehidupan dengan redha tanpa mempersoalkan nasib yang menimpa. Saya teringat suatu cerita, seorang bapa di Kedah, anak perempuannya dirogol dan dibunuh oleh PATI Indon, (Pendatang Asing Tanpa Izin). Bapa itu meratap sedih lantas mempersoalkan taqdir, mengapa suratan sebegitu rupa harus menimpa dirinya....Dalam suatu ketika lain, saat Tsunami melanda yang menyaksikan gelombang ombak itu menelan dan mengebumikan beratus-ratus nyawa, muncul seorang bapa menjawab persoalan pemberita akan kematian kesemua ahli keluarganya. Dengan tenang dan penuh kesabaran, beliau menjawab...semuanya itu adalah pinjaman Allah, sekarang telah tiba masa Allah mengambilnya semula...Mendengar jawapan itu, hati saya tersentuh dan terharu...betapa kuatnya jiwa si ayah itu. Saya pasti, jawapan itu adalah gambaran jiwa dan hatinya yang betul-betul yakin dan percaya akan taqdir Allah yang maha indah. Cuba kita bayangkan, keluarga yang telah dibina dengan jerih penat selama berpuluh-puluh tahun hilang dalam masa beberapa minit sahaja di hadapan mata. Andai kita berada di tempat si ayah itu, tanpa jiwa yang kuat, mampukah kita menerimanya dengan redha, lantas menzahirkan sebuah jawapan setabah itu?

Persoalan ini sebenarnya menyentuh kesedaran akan hakikat diri kita sebagai hamba Allah di dunia ini. Ibarat seorang hamba raja yang diberikan makan, perlindungan dan pakaian, dia menggunakan segalanya tanpa rasa memiliki secara kekal akan nikmat-nikmat yang dikecapinya itu. Lantas, bila sahaja nikmat itu diambil semula, dia tetap berasa bersyukur kerana pernah menerima nikmat itu selama ini. Apakah relevannya dengan realiti hidup kita hari ini? Ya, kita adalah hamba kepada Raja segala Raja. Allah Subhanahu Wata'ala. Dia lah Tuhan yang memberikan rezeki dan nikmat tanpa berkira-kira kepada kita sejak di alam rahim lagi, (Alam rahim adalah alam kasih sayang seorang ibu kepada anaknya). Nikmat demi nikmat dilimpahkan, tanpa mengira kita bersyukur, lupa, mahupun mendustakannya. Namun, Nikmat adalah ujian. Kerana itu ramai manusia terlupa akan dua perkara:
1) dirinya masih lagi seorang hamba
2) nikmat yang dikecapi tiada satu pun miliknya yang hakiki

Oleh kerana mereka terlupa akan 2 perkara penting ini, maka mereka menjadi cinta kepada nikmat dunia, sehingga terlupa kepada pemberi nikmat itu sendiri. Umpama seseorang yang terlalu memuja sesebuah hadiah, lebih daripada pemberi hadiah itu sendiri. Pelik bunyinya bukan? tetapi hakikatnya itulah yang berlaku pada manusia kebanyakan...

Saya teringat akan cerita seorang pengembala dan kambing-kambingnya yang banyak. Menariknya, pengembala ini menternak kambing-kambingnya mengikut kelompok-kelompok keluarga. Setiap keluarga kambing, ditempatkan di dalam kandang berasingan. Suatu hari si pengembala ingin menyembelih 4 ekor anak kambing daripada sebuah unit keluarga. Maka si pengembala itu pun bertanya kepada kedua ibu bapa kambing itu,"Bolehkah saya menyembelih 4 ekor anak-anak kamu?". Maka apakah jawapan ibu kambing yang menyayangi anak-anaknya itu? Sudah tentu tidak, kerana ia amat kasihkan anak-anaknya yang comel dan manja, walaupun mandi bukan kebiasaan harian mereka. Persoalannya di sini, wajarkah si pengembala itu bertanyakan soalan sedemikian kepada ibu dan bapa kambing-kambing itu? Jawapannya tentulah tidak wajar, bahkan tidak perlu, lantaran bukan sahaja anak-anak kambing itu, malah kedua ibu-bapa mereka juga adalah milik si pengembala. Terpulanglah kepada pengembala itu untuk melakukan apa sahaja, mengikut kehendak dan kebijaksanaannya. Allah S.W.T adalah pemilik hakiki setiap makhluk di muka bumi. DIA lah pemilik si anak, ibu, bapa, bahkan sehingga nenek moyang berabad generasi lamanya. Dia berhak melakukan apa sahaja mengikut kehendak dan kebijaksanaan-Nya. Sebagai hamba, apakah kita layak untuk mempersoalkan qada' dan qadar Allah, hanya kerana ia membunuh rasa selesa kita hidup di dunia ini? Pastikah kita bahawa setiap sesuatu yang kita suka membawa kebaikan kepada kita atau sebaliknya? (rujuk 2:216) Inilah jawapan kepada si ayah yang meratapi kematiannya anaknya seperti yang disebutkan sebelum ini.

Sedarlah, bahawa diri kita adalah HAMBA ALLAH. Meskipun kita KAYA, biarpun kita SIHAT, walaupun kita BERKUASA, namun semuanya itu tidak seharusnya membiaskan kita daripada mengenali hakikat diri yang sebenar. Kita tetap hamba. Redha dan bersyukur dengan gelaran itu. Untuk menjadi redha, kunci yang perlu dipegang adalah BERSANGKA BAIK kepada Allah S.W.T. Biarpun terkadang sukar, namun berusahalah untuk meyakininya. DIA adalah seperti mana sangkaan hamba-Nya. Dengan itu, insyaAllah, kita akan mampu menerima segalanya dengan tenang dan sabar, seperti mana si ayah yang redha menerima pemergian kesemua ahli keluarganya..Moga SIKAP ini menjadi contoh teladan buat kita di hari muka...