Tuesday, September 12, 2006

Emak...jangan pergi dulu

"Emak, jangan pergi dulu....". Aku bermimpi lagi.Sedih menyelubungi sayu perasaanku tatkala terjaga dari lena. Kelopak mata ini berderaian titisan jernih. Sudah beberapa kali emak muncul dalam mimpiku.Tiap kali bayangannya hadir, seluruh tubuhku terasa sayu. Namun mimpi kali ini sungguh berlainan sekali. Aku melihat emak baru sahaja 'pergi', sedangkan dia telah lama meninggalkanku ketika aku masih di bangku sekolah menengah. Peliknya mimpi ini kerana terlalu banyak halangan terpaksa dihadapi ketika ingin menghantar jenazahnya ke kubur. Apakah itu suatu petanda yang tidak baik? Aku tidak pasti. Tuntas aku terfikir bagaimanakah keadaan emak di kamar sempit di perut bumi yang sunyi itu. Kupanjantkan doa, setulusnya, moga Allah merahmati emak dan menempatkannya di kalangan ruh-ruh hamba yang dicintai-Nya. Dan sesungguhnya mimpi itu benar-benar menerkam seluruh benakku hingga membuatkan aku mengelamun dan berfikir tentangnya seharian lamanya. Baru aku sedar, aku telah 'jauh' daripada emak. Aku telah culas mengingati dan mendoakannya. Sedangkan dia tidak pernah mengeluh mendidikku ketika kecil.

Suatu peristiwa yang tidak mungkin dapat kulupakan, ialah apabila emak mendukungku ketika aku berusia 5 tahun untuk berjumpa dengan doktor. Tabahnya dia membawaku dengan penuh susah payah, tidak tergambar di matanya resah, asalkan diri ini sihat dan terus membesar. Ah, air mata ini bergenang lagi. Meskipun dia adalah seorang nenek, lantaran terlalu rapat dengannya, aku memanggilnya emak. Dia tidak pernah memarahiku, biarpun dikenali dengan sifat garangnya.

Seketika, terimbas kembali detik-detik emak meninggalkan kami semua. Segalanya bermula apabila emak ditimpa kemalangan ketika aku berada di tingkatan dua. Rentetan daripada kemalangan itu, sakit emak mula bertambah, sehingga suatu hari doktor mengesahkan bahawa emak menghidap barah tulang. Kerana itu emak terpaksa berulang-alik ke hospital pakar untuk mendapatkan rawatan laser. Hatiku mula resah. Badan emak semakin hari semakin susut. Aku yang tinggal di asrama ketika itu berusaha sedaya mungkin mencari peluang untuk pulang ke kampung menjenguk emak. Bermula dengan jalan bertongkat, kemudian berpindah ke kerusi roda dan lama kelamaan hanya bisa terlantar di atas katil. Aku semakin risau.

Hampir dua tahun emak sakit.Ketika berada di tingkatan tiga, aku semakin kerap pulang ke kampung. Sejurus sampai di muka pintu aku, terus mendapatkan emak. Aku cuba menjaganya sekadar termampu. Menyuapkan makanan, memberi ubat dan berbual-bual mengisi kekosongan hari-harinya yang sunyi. Namun, menjelang peperiksaan PMR, aku tidak dapat selalu pulang. Biarpun hanya sekadar mendengar suara, aku menelefon emak setiap minggu. Hinggakan pada minggu terakhir sebelum peperiksaan, emak datang menjengukku dengan ditemani bapa saudaraku. Datangannya dengan pesan yang mudah tetapi bermakna.."belajarlah sungguh-gungguh sampai berjaya". Benar, kata-kata yang terhambur dari bibirnya itu ibarat perangsang sumber inspirasi yang berjaya menghapuskan perasaan risauku terhadap kesihatannya. Aku mengambil peperiksaan dengan tenang.

Selepas tamat peperiksaan, aku pulang ke kampung. Namun demam yang menyelubungiku membuatkan aku hanya mampu terbaring di kerusi sofa tidak jauh dari tempat emak menghabiskan masa sehariannya. Ibu pula mengajakku pulang ke rumah, lantaran lama tidak berjumpa. Biarpun hati ini berat meninggalkan emak, namun aku tetap taat akan perintah kedua orang tuaku. Beberapa hari sebelum hari raya aidilfitri menjelang tiba, keputusan PMR keluar.Alhamdulillah Allah mengurniakanku kejayaan.Namun, ketika itu jugalah aku menerima panggilan dari kampung, dalam sedu sedan, menyatakan bahawa emak sedang sakit tenat. Sanak saudara telah pun berkumpul. Lalu kami terus bersiap dan bergerak pulang dengan hati penuh debaran. Sepanjang perjalanan, hatiku tidak henti-henti mendoakan emak. Kami hampir ditimpa kemalangan di suatu simpang, tetapi taqdir Allah mengehendaki kami meneruskan kehidupan.

Saat tiba di kampung, aku terus mendapatkan emak.Suasana rumah dipenuhi tangisan dan bacaan ayat-ayat Al-Quran. Aku membisikkan perlahan di telinga emak,"Alhamdulillah, Ajib berjaya dapat 9A". Namun waktu itu, tiada jawapan, mahupun senyuman dari wajah insan tua itu. Hanya deruan nafas turun naiknya yang dapat menghiburkanku.

Sehari sebelum menjelangnya fajar syawal, emak diubati oleh seorang ustaz. Alangkah terkejutnya kami melihat emak dapat bercakap kembali. Perasaan yang malap berbunga kembali.Moga-moga emak sihat, doaku pada Yang Esa. Namun, taqdir Tuhan mengatasi tadbir manusia. Di pagi syawal yang hening, emak menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ramadhan tahun itu adalah Ramadhan yang terakhir baginya. Fajar syawal kusambut dengan penuh redha dan pasrah pada ketentuan Allah. Dialah yang maha berkuasa atas segala sesuatu.

Emak, terima kasih atas curahan bakti dan kasih sayangmu. Hari ini, aku terus mengorak langkah mengejar cita-cita, berbekalkan kata-semangatmu yang mekar tidak pernah pudar.Hanya doa yang berpanjangan menjadi hadiah yang indah buatmu selagi tubuh ini masih bernyawa. Maafkan diri ini kerana sering melupaimu. Di saat hidupku suram seperti ini, kenangan bersamamu bisa menyuburkannya kembali.Aku bersyukur atas kurniaan tidak ternilai ini...

2 comments:

Anonymous said...

ajib dpt 9a?ajib tuh siapa?hanafi?

h@rne2 said...

ajib tu nama lain bagi hanafee...(nama samaran di kampung)