"Harus ada rasa bersyukur, di setiap kali ujian menjelma..itu jelasnya membuktikan Allah mengasihimu setiap masa" ...Bait lagu ini begitu jelas terngiang-ngiang di minda setiap saat dan masa...Alhamdulillah, masih gagah jua diri ini untuk melafazkan rasa syukur...syukur tidak terhingga atas ujian yang singgah menjengah tahap kesabaran dan tawakal kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya kala ini terasa benar rahmat kasih sayang Allah yang melimpah ruah, lantaran mampu tersenyum dan berasa tenang di sebalik musibah yang menimpa.
Malam itu ketika berada di bengkel, saya merasakan sesuatu yang tidak kena berlaku. Puas saya mengambil langkah berhati-hati semasa menggunakam mesin 'lathe', tetapi kemalangan berlaku juga. Hati saya menyatakan sesuatu yang buruk mungkin terjadi. Saya tidak tahu kenapa, tetapi rasa itu terlalu kuat sehingga menyebabkan saya hilang mood untuk membuat kerja. Jam 10, Iqbal menelefon, tanyakan bila bengkel saya tamat. Jam 10.30, setibanya saya di rumah, perasaan menjadi berdebar-debar pula. Di ruang tamu, ramai rakan-rakan telah berkumpul. Semuanya menyuruh saya bersabar. "Instinct" saya semakin kuat. Setibanya di pintu bilik, pemandangan saya membenarkan apa yang saya rasa buat sekian lama. Malam itu, rumah kami telah dipecah. Barang-barang saya paling banyak diambil. Laptop, kamera digital, 3 pasang jam, handphone,webcam, ipod shuffle, wang tunai dan beg antara item yang 'selamat' dibawa lari..Perasaan bercampur baur. Laptop yang di dalamnya terdapat dokumen-dokumen penting, gambar-gambar kenangan, jam tangan pemberian abang saya, kamera yang saya beli dengan menggunakan wang simpanan selama berbulan-bulan...setiap satunya mempunyai 'sentimental value' yang tersendiri...Tidak tahu apa hendak dikata. Keadaan amat sukar buat diri saya untuk menjadi tenang di kala itu. Hendak marah, tidak berguna. Hendak menyesal pun tiada hasilnya. Saya menjadi semakin tertekan apabila cuba menghubungi keluarga di tanah air, tetapi gagal semuanya. Mujurlah ada mereka yang menenangkan perasaan. Saya bersyukur.
Lantaran tidak tahu apa yang harus dibuat, saya menunaikan solat dan membaca al-Quran. Baca semahu-mahunya. Hayati segala maksudnya. Kebetulan ayat yang dibaca bertepatan dengan apa yang sedang terjadi. Saya menangis terharu, Allah memberikan bantuannya pada jalan yang tidak disangka-sangka. Sejurus membaca ayat-ayat suci itu, perasaan saya berubah menjadi tenang. Saya mula dapat menerima apa yang berlaku. Sejurus selepas itu, saya mendapat panggilan dari keluarga di tanah air. Perasaan menjadi lega dan kembali stabil. Alhamdulillah, segala syukur saya panjatkan kepada kepada Allah S.W.T. Dialah yang bisa membolak-balikkan hati. Zat yang bisa menyempitkan dan melapangkan sesiapa yng dikehendaki-Nya. Saya berdoa pada-Nya agar mengekalkan ketenangan ini...biarpun sesekali terasa 'kehilangan sesuatu' setiap kali menjengah ke pintu bilik..namun saya amat yakin dan percaya, Allah itu maha Adil, tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia...Pasti dan PASTI, ada HIKMAHNYA.
Segalanya tersurat pada suatu lakaran terindah, yang unik buat empunya diri. Mungkin, mata kasar yang culas tidak bisa melihat "keindahan" sulaman taqdir yang menimpa ini, tetapi yakinlah dari pandangan Allah, ia adalah coretan terbaik, istimewa buat insan bernama manusia.
Peristiwa kali ini benar-benar mengajar saya, bahawa harta dunia ini hanya PINJAMAN semata-mata. Semuanya HAK ALLAH. DIA bisa mengambilnya bila-bila masa mengikut kehendak dan kebijaksanaan-Nya. Andai kita cinta pada dunia, PASTI dan pasti kita akan menangisinya. Kala ini saya cuba mencermin kembali watak-watak manusia yang berusaha siang dan malam mengumpul harta kekayaan, sehingga terkadang menngakibatkan kesusahan kepada orang lain dan mengabaikan tanggungjawab agama. Alangkah kasihannya mereka, punya matlamat hidup yang singkat dan tidak tentu lagi mampu digapai oleh tulang empat kerat...
Walaubagaimana pun, saya sedaya upaya cuba menanamkan yakin di dalam hati, bahawa setiap sesuatu yang diambil, Allah akan menggantikannya dengan gantian yang jauh lebih baik, andai kita sabar, ikhlas dan redha...Saya akhiri entri ini dengan lirik sebuah nasyid yang penuh bermakna....
" Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap barukan terasa
Bila hilang di dalam genggaman
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman
Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana
Indah di mata namun tiada
Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang
Tuhan leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidak ku mampu
Mengumpul dua cinta
Hanya cinta-Mu
Ku harap tumbuh
Dibajai bangkai nafsu yang kubunuh"
p/s: Ada pepatah yang saya ubah, sayang ilmu ajar-ajarkan, sayang harta sedekah-sedekahkan..moga diri kita tenang di dalam rahmat Allah yang berkekalan...