Thursday, June 14, 2007

Peperiksaan menjelang sudah..

Sunday Market yang menarik


Ahad lalu, saya bersama-sama anak-anak usrah menjejakkan kaki ke Sunday Market, berdekatan Addington Race course. Usrah kami memang terkenal dengan 'aktiviti luar' yang memerlukan kami menghabiskan masa bersama. Pernah sekali kami ke Nandos, kemudian menaiki puncak Cashmere Hill, sambil menikmati pemandangan malam Christchurch City yang begitu indah nian dan tersusun rapi pembangunannya, dan diikuti dengan menuruni bukit terus ke pantai Sumner untuk menyedut udara pantai yang segar dan bersih. Alhamdulillah, pengalaman yang saya kira sukar untuk dilupakan, ditambah dengan karenah mereka yang pelbagai dan mencuit hati, usrah kami tidak pernah kering gusi.


Pemandangan Cathedral Square di waktu malam


Di sebelah petangnya, Majlis Solat Hajat telah diadakan bersempena peperiksaan akhir semesta yang bakal menjelang. Saya telah diminta untuk menyampaikan tazkirah usai solat hajat, sementara menanti masuknya waktu Isyak. Sekadar mencoretkan peringatan di ruangan ini, buat diri ini dan rakan-rakan yang dikasihi.

Bersama usrah semasa bermain ice skating..semuanya ceria belaka


Tazkirah itu saya mulakan dengan berkongsi sebuah hadith yang sering didengari tetapi dilupai akan kepentingannya, iaitulah hadith berkaitan dua nikmat terbesar yang sering dialpakan oleh kebanyakan manusia. Nikmat KESIHATAN dan MASA LAPANG. Saya kira, hadith ini amat releven dalam konteks kami yang sedang di ambang persediaan menjelang peperiksaan yang hanya berbaki seminggu.

Saya akui, kedua-dua nikmat ini sememangnya sukar untuk dihargai tatkla kita sedang selesa berada di dalamnya. Pabila sakit tidak boleh berjalan misalnya,barulah terasa peri pentingnya berjalan walaupun jauh sedikit untuk ke kelas atau pun masjid. Ketika peperiksaan berbaki satu hari sahaja lagi, barulah menyesal akan masa yang panjang terbiar begitu sahaja berlalu meninggalkan kita, tanpa sempat melakukan apa-apa. Semuanya ini seolah-olah telah berulang kali berlaku kepada kita, setiap kali musim peperiksaan menyapa leka, dan kita pula seperti redha akan keadaannya seperti ini. Teringat pula saya kepada suatu hadith yang menyatakan, bahawa sesungguhnya beruntunglah mereka yang hari ini LEBIH BAIK daripada semalam, rugi pula mereka yang hari ini SAMA seperti semalam, dan celaka bagi mereka yang hari ini, LEBIH BURUK berbanding semalam. Persoalannya, di kategori manakah kita kala ini?..Fikir dan analisa sendiri..

Untuk berjaya di dalam peperiksaan, mahupun apa jua lapangan kehidupan, kita perlu patuh pada dua elemen utama:

  1. Sunnatullah:

Sunnatullah merujuk kepada semua ketetapan Allah yang berlaku di muka bumi ini. Ketetapan ini termasuklah hukum-hukum alam, tabiat semulajadi manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, kejadian malam dan siang, peredaran bumi dan planet-planet lain, dan sekalian makhluk lain di mana sahaja. Semuanya di dalam lingkungan ilmu Allah, yang disebut juga sebagai sunnatullah. Allah yang menyusunnya menurut peraturan-peraturan yang tertentu, dan kemudiannya dijumpai oleh mereka yang mengkaji. Dalam konteks pembelajaran hari ini, sunnatullah meliputi segala ilmu duniawi seperti fizik, kimia, biologi, kejuruteraan, perubatan dan segala lapangan ilmu yang lain.

Jika dilihat dari satu sudut yang lain, untuk berjaya, kita perlu mematuhi sunnatullah juga. Apa yang dimaksudkan dengan sunnatullah di sini adalah, usaha yang setimpal yang perlu dicurahkan, berkadaran dengan kejayaan yang diharapkan. Mengapa Allah menceritakan, bahawa penciptaan langit,bumi dan segala isinya dilakukan dalam tempoh 6 hari? Ini sebagai menunjukkan sunnatullah akan gradualiti, atau tahap-tahap yang perlu dilalui untuk kita mencapai sesuatu tujuan atau matlamat. Sebagai contoh, jika seseorang yang bernama Pak Ali ingin menanam jagung, beliau perlulah melakukan segala-gala yang diperlukan untuk jagung-jagung itu tumbuh subur. Seandainya beliau hanya melakukan secara ala kadar, dan mengharapkan hasil yang lumayan di akhir bulan, pastilah ianya suatu yang mustahil untuk diperolehi, meskipun Pak Ali itu sentiasa beribadat dan taat kepada Allah S.W.T. Di sini kita melihat bahawa, yang menumbuhkan jagung, bukanlah solat dan doa semata-mata, tetapi usaha yang setimpal, sesuai dengan sunnatullah untuk jagung itu tumbuh subur dan membuahkan hasil yang lumayan.

Begitu juga di dalam study, jika kejayaan yang kita impikan, maka perlulah kita mencongak, berapa banyak usaha yang perlu dicurahkan, bukan sekadar berdoa dan bersolat hajat siang dan malam tetapi membiarkan diri dibelenggu sifat malas dan suka bertangguh.

  1. Syari’atullah

Syari’atullah pula merujuk kepada segala ilmu yang berhubung kait secara terus dengan agama Allah. Misalnya, ilmu Syariah, Usuluddin, hukum-hukum Islam, dan lapangan-lapangan yang sewaktu dengannya. Pendek kata, bagi mereka yang menjadi ustaz dan ustazah, syari'atullah ini adalah lapangan utama perjuangan mereka. Saya tidak berminat untuk menghurai panjang akan elemen kedua ini, lantaran kebanyakan daripada kita sudah pun cukup dewasa untuk memahaminya.

Cumanya, apa yang boleh diutarakan adalah dari segi keseimbangan amal, di mana syari'atullah ini akan mengimbangi sunnatullah. Setelah kita bertungkus-lumus mentelaah pelajaran, jangan pula kita lupa untuk beribadat dan berdoa kepada Tuhan yang Maha Kaya dengan belas kasihan. Jaga hubungan dengan-Nya, kerana Dia adalah sumber segala ilmu juga keberkatan. Maka di sini perlulah kita pastikan, bahawa jangan sampai study kita, menyebabkan kita berlaku ‘curang’ kepada-Nya. Takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Biar rugi sedikit di dunia, asal tidak rugi yang sebenar-benarnya di akhirat nanti.

Integrasi kedua-dua elemen ini sangat penting. Lantaran ia akan mewujudkan keseimbangan dalam kehidupan kita. Terkadang, mungkin ramai yang tidak dapat mengaitkan pembelajaran mereka dalam bidang kejuruteraan atau perakaunan, dengan sumbangan kepada agama Islam. Di sini saya suka untuk mengajak kita semua berfikir, dan mengambil contoh seorang pelajar Civil Engineering. Setelah tamat belajar, beliau akan pulang dan terjun ke dalam masyarakat untuk memberi khidmat. Orang lain meletakkan kepercayaan kepadanya, sebagai contoh, untuk meluluskan pembinaan sesebuah bangunan atau mengenalpasti bahan yang sesuai untuk sesuatu binaan. Seandainya semasa tempoh study, beliau lebih suka tidur di bilik berbanding pergi ke kelas, selalu meniru assignment yang diberikan, dan melakukan semuanya sambil lewa, apakah dengan ilmu sebegitu beliau mampu untuk memberi khidmat kebaikan kepada manusia lain? Bimbang bukan khidmat, tetapi mudarat pula yang berlaku disebabkan olehnya. Tidak hairanlah mengapa kita mendengar sesetengah binaan itu runtuh, walaupun dalam masa beberapa tahun ia dibina. Semuanya bertitik tolak sedari sikap kita ketika menuntut ilmu lagi. Muhasabah lagi untuk diri ini…

Seterusnya, untuk berjaya, kemanisannya akan lebih terasa seandainya kita mampu mengajak dan membawa orang lain untuk berjaya bersama. Kerana erti hidup yang bermakna adalah pada memberi. Sebagai contoh yang sering saya bentangkan, seandainya kita mempunyai seorang adik, yang mahukan anak patung biri-biri sejurus pulangnya kita nanti, dan kita pula berusaha bersusah-payah untuk mendapatkannya. Sesampainya kita di tanah air, alangkah gembiranya adik itu apabila menerima hadiah idamannya. Tetapi, di saat itu, sebenarnya diri kita yang lebih bahagia, berbanding adik, mahu pun anak patung itu. Ini kerana, kita telah berjaya MEMBERIkan kebahagiaan kepada adik yang tersayang. Di sini, ternyatalah bahawa hidup kita akan terasa lebih bermakna apabila kita mampu memberi, berbanding menerima.

Begitu juga halnya dalam study. Banyakkan memberi dalam bentuk perbincangan, perkongsian dan penerangan kepada rakan-rakan yang lain. Kecerdikan itu adalah suatu nikmat, dan Allah menyuruh kita supaya berkongsi (menyebut) nikmat itu sebagai tanda syukur (Ad-Duha: 93:11). Jangan lupa juga supaya banyakkan bertanya, kerana ia adalah salah satu cara pembelajaran efektif yang dianjurkan oleh Islam. Nabi juga mengajar sahabat-sahabat tentang Islam dengan bertanya dahulu kepada mereka, seperti mana yang tercatat dalam hadith kedua daripada himpunan 40 hadith, hasil nukilan Imam Nawawi Rahimahullah.

Sebagi penutupnya, saya juga mengingatkan diri dan seluruh hadirin, bahawa peperiksaan itu bukanlah pengakhiran kepada segala-galanya dalam kehidupan kita. Jangan sampai terlalu takut untuk melakukan sebarang aktiviti bermanfaat yang lain, semata-mata kerana memikirkan masa yang akan terbuang boleh digunakan untuk membuat satu lagi latihan. Kita perlu sedar bahawa hak terhadap diri sendiri perlu kita jaga dan pelihara sebaiknya. Jangan sampai study terlalu lewat sehingga terlepas solat subuh. Jangan sampai jadi ‘paranoid’. Jiwa kita perlukan santapan, seperti mana badan kita memerlukan makanan. Hidup ini perlukan keseimbangan, meskipun kita berhadapan dengan pelbagai tekanan. Sekali kita ‘out of control’, maka satu persatu elemen lain hidup kita juga akan menerima tempiasnya.

Akhir kalam, saya mendoakan semoga Allah memberi kemudahan kepada kita semua untuk berjihad di dalam dewan peperiksaan. Dalam hati, saya menyimpan hasrat untuk melihat umat Islam kembali di tempatnya yang tinggi, seperti mana yang telah dicapai oleh mereka yang terdahulu. Jika mereka berjaya buktikan, mengapa kita harus terus-menerus ketinggalan? Moga kita tidak tercicir lagi. Allahumma Ameen…


p/s: bingkisan nasihat dari angah:


Sebelum matamu terlelap dari kesibukan dunia, ingatlah Tuhanmu yang menjadikan siangmu diwarnai dengan cabaran sebagai TARBIYYAH dariNya. Yang menjadikan malammu indah dengan cinta, kasih & sayang dariNya. Apa yang didamba selain cinta seorang hamba buat sang PENCIPTA. Alunkan alunan zikrullah, basahkan lidahmu dengan rentak kalamullah. Moga kita menjadi perindu syahid sejati. INSYA-ALLAH”

2 comments:

NuR^QaLBi said...

Moga jalan jihad perjuanganmu disuluhi cahaya perlindungan jua kemudahan dari ALLAH..

Ma'at taufiq wannajaah...

h@rne2 said...

Inshaa Allah, semoga dipermudahkan..walaupun xyakin sgt sebenarnya utk kali ni...tp akan terus berusaha...