Sunday, June 22, 2008

Bilakah saatnya paling manis bercinta?

Jawapannya:

Bila sudah diijabkabulkan.

Kenapa?

Kerana bercinta di kala itu mengundang pahala, pencinta tidak perlu risau akan dosa kerana hubungan antara dua manusia itu sudah halal jadinya. Berbanding sebelumnya, walau 1001 kali setiap saat pencinta menyatakan bahawa cintanya suci, hakikatnya..hakikat yang tidak dapat dinafikannya, cinta di kala itu jika salah langkahnya mengundang dosa. Apakah sesuatu yang suci itu harus disulami dengan dosa?

Pencinta perlu ingat, sebelum ada ikatan yang sah, 1001 kemungkinan pencinta mungkin mengambil kesempatan terhadap sesama pencinta. Pencinta kemungkinan mencemari sesama pencinta lantaran tiada ikatan pertanggungjawaban yang nyata di kala itu. Habis madu sepah dibuang. Habis dipegang parut ditinggalkan.

Berbanding pencinta yang mempunyai ikatan pertanggujawaban yang sah, jika luka diubati sembuh, jika retak ditunggu teguh, jika murung sama-sama diharung, jika beban sama-sama ditanggung. Alangkah manisnya cinta di kala itu.

Pencinta perlu ingat, pencinta bergelar lelaki mungkin suka mengambil kesempatan tetapi mungkinkah mereka sanggup bertemankan hidup pencinta wanita yang pernah diambil kesempatan pencinta lelaki lain? Fikirkan….bukan salah berkawan tetapi jadikanlah agama sebagai panduan…..kerana agamalah kita dipanggil insan, sedang makhluk yang tidak berpandukan agama biasanya dikaitkan dengan haiwan.

Ambilah nasihat ini bukan atas dasar ianya datang dari seorang lelaki tetapi atas dasar datang dari seorang yang juga mempunyai ibu, kakak, adik, dan paling penting kerana datang dari sesama Islam.


Sekali lagi pertanyaan…….bilakah saatnya paling manis bercinta?….tepuk dada tanyalah iman.

Wallahu’alam.

Saturday, June 21, 2008

Teguran ini kerana kasih di hati..

“Aduhai….” Keluh hati ini resah. Rasa gundah yang diselaputi kecewa yang teramat sangat, bagai menyelubungi segenap sudut hidup yang kian menyempit saban hari. Harapkan pagar, pagar makan padi.

Kebelakangan ini saya sering dihujani berita-berita yang seakan-akan membuatkan gugur jantung saya apabila mendengarnya. Apa sudah jadi dengan kalian semua? Adakah sampai ke luar Negara ini mejadi lesen untuk kalian berbuat sesuka hati tanpa berfikir bahawa ada Tuhan yang sentiasa melihat dan memerhati? Tidakkah kalian punya rasa takut di dalam hati walau secebis, akan azab dan siksa akibat murka Allah kepada semua maksiat yang dilakukan? Ke manakah semua ilmu agama yang ditimba, jika tidak di dalam usrah, ketika belajar di sekolah dan pusat persediaan terdahulu?

Masalah pergaulan atau lebih senang saya sebutkan sebagai bercouple ini semakin membimbangkan saya akhir-akhir ini. Banyak sekali cerita panas yang menyesakkan dada sehingga mahu sahaja saya ‘membasuh’ seorang demi seorang para pelakunya.

Berdua – duaan di dalam bilik untuk sekian tempoh waktu yang lama, berjalan ke sana ke mari berhari-hari lamanya hanya berdua, dan segala macam maksiat lagi yang tidak sanggup saya ungkapkan di sini, sudah menjadi seolah-olah suatu kebiasaan diterima, lantaran tiada siapa yang menegahnya.

Saya bukanlah seorang mufti, tidak pula berhajat untuk mengeluarkan sebarang fatwa mahu pun hukum. Tetapi ingatlah, bahawa segala perbuatan itu jelas haram hukumnya. Apabila seorang lelaki berdua-duaan di tempat sunyi dengan perempuan bukan mahramnya, pasti dan PASTI! syaitan adalah yang ketiga. Dan syaitan itu tidak menunggu untuk melihat latar belakang anda, sama ada anda pernah mendapat didikan agama atau tidak. Sama sahaja hasutannya.

Terkadang saya pelik akan trend masa kini. ‘Declare’ itu seolah-olah suatu tiket untuk menghalalkan yang haram di sisi agama. Tidak hairan, ramai yang berubah kerana hubungan ini. Kalau dahulu, masuk waktu solat berusah-payah mengharungi sejuk malam untuk ke surau, namun kini, bersusah payah pula untuk menemani perempuannya berjalan entah ke mana. Senang benar manusia ini berubah kerana cinta.

Kalau di tanah air, saya pasti kita tidak berani bertindak seperti ini. Tetapi di sini tiada 'ibu' atau 'abah' untuk memantau setiap pergerakan kita. Yang ada cuma rakan-rakan yang hanya mampu melihat dan membiarkan sahaja kita dengan dunia kita sendiri. Tidak kasihan kah kita kepada ibu bapa yang membesarkan kita selama ini, andai mereka tahu siapa kita yang sebenarnya di sini? Mahukah kita di suatu masa melihat anak-anak kita memperlakukan kepada kita sebagai mana kita memperlakukannya kepada ibu bapa kita saat ini?

Saya faham perasaan fitrah antara lelaki dan wanita. Fitrah itu suci, tidak perlu dikotorkan oleh perbuatan yang sumbang. Ada yang merasakan bahawa di peringkat ini kita perlu menyelami hati masing-masing, mengenali hati budi, agar apabila ditakdirkan bernikah nanti, mudahlah untuk melayar bahtera. Saya tidak pasti dari mana teori ini diperolehi, tetapi ingatlah, yang menyatukan hati itu bukan kuasa kita. Itu hak mutlak ALLAH swt. Dia bisa membolak-balikkan hati dengan sekelip mata. Jika kita berani untuk membelakangkan Tuhan semata-mata untuk menyatukan hati kita dengan si dia, ketahuilah bahawa di sana kemurkaan Allah lebih besar untuk kita takuti.

Andai semua yang indah ingin dinikmati sekarang, andai semuanya ingin 'diberikan' sebelum benar-benar berada di dalam ikatan yang halal, saya khuatir tiada apa lagi yang tinggal selepas memasuki gerbang perkahwinan. Habis madu sepah dibuang. Saya juga khuatir apa yang hanya akan dilihat nanti hanyalah 'rupa' pasangan masing-masing yang sebenar. Kala itu mahu menyesal pun sudah terlambat.

Untuk para lelaki, ingatlah bahawa kita pastinya inginkan pasangan yang solehah. Justeru kita mestilah berusaha untuk menjadi soleh terlebih dahulu, lantaran Allah telah menetapkan dalam firman Nya bahawa lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Andai kita berani melanggar batas syariat dalam pergaulan sebelum berkahwin, tidak mustahil kita akan lebih berani daripada itu selepas berumahtangga nanti. Sanggupkah kita melihat saudara perempuan kita diperlakukan seperti itu oleh lelaki lain? Jika tidak sanggup, maka cubalah kita pelihara diri sebaik-baiknya, kerana sesungguhnya wanita itu juga mempunyai saudara lelaki, dan keluarga yang tidak mahu dia diperlakukan sebegitu rupa. Biarlah kita berkorban menahan nafsu saat ini, agar masa depan yang dibina nanti bisa mengecap nikmat bahagia yang hakiki.

Untuk para wanita, sedarlah bahawa si lelaki itu akan mencari yang baik-baik sahaja untuk dijadikan calon isteri, meskipun hidupnya seharian penuh dengan perempuan yang berbagai-bagai ragamnya di sekeliling pinggang. Janganlah mudah rasa terpedaya dengan kata-kata lembut dan manis memujuk rayu. Allah menciptakan wanita dengan sepenuh keindahan, sesuai dengan gelarannya sebagai hiasan dunia. Keindahan itu selayaknya diperuntukkan buat seseorang yang bergelar suami yang sah. Bukan suami cubaan atau suami training. Namun, andai kurnia ini digunakan demi untuk memuaskan nafsu, wanita juga bisa menjadi fitnah paling utama buat insan bernama lelaki.

Ingatlah bahawa dalam hidup ini, tiada apa yang terlebih penting selain daripada mendapat keberkatan Allah dalam segenap pekerjaan yang kita lakukan. Dengan keberkatan itu hati akan terasa tenang dan damai. Nikmat ketenangan ini tidak mampu sama sekali dibeli oleh baki akaun yang beratusan ribu, mahu pun pangkat serta jawatan yang tinggi. Dan sifirnya mudah sahaja. Keberkatan ini akan diperoleh jika kita benar-benar ikhlas dalam taat kepada Allah. Taat di sini bererti melakukan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Sedarlah bahawa gelaran kita di dunia ini tidak lebih daripada sekadar HAMBA. Apabila Allah memerintahkan supaya jangan mendekati (bukan sekadar melakukan) zina, ketahuilah bahawa larangan itu bukanlah untuk menyukarkan hidup kita, malah memberikan hikmah Ilahiyah yang terpancar di sebaliknya seribu kebaikan. Akal kita yang terhad mungkin tidak mampu menyelak tabir hikmah itu, namun percayalah, bahawa sesungguhnya ia adalah yang TERBAIK untuk kita. Dia yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia Maha Mengetahui segala-galanya.

Saya menulis ini sebagai suatu peringatan buat diri sendiri dan mereka yang tanpa rasa bersalah melakukan maksiat melanggar perintah Allah. Saya tiada kuasa seperti jabatan agama untuk membuat serbuan, apa yang termampu hanyalah melalui ucapan dan penulisan. Dan di sini saya ingin menyatakan bahawa saya membenci perbuatan-perbuatan sumbang ini dengan sepenuh kebencian, lantaran ianya adalah maksiat yang mengundang murka Allah. Sedarlah bahawa kita akan mati, segala amal perbuatan kita akan dihisab, yang baik mahu pun sebaliknya, tiada satu pun akan terlepas. Saya tidak pasti apakah saya mampu untuk menjawab soalan-soalan di hari pengadilan di hadapan Allah swt nanti. Moga amal ini diterimanya..Buat akhirnya, sedarlah wahai yang mempunyai mata, telinga, akal dan hati….

Pohon ampun dan maaf andai banyak hati yang terasa dan terluka. Bukan bermaksud menyalakan bara permusuhan, namun teguran ini lantaran rasa kasih dan sayang sesama saudara seIslam, yang mahukan kita semua hidup di dalam redhaNya Yang Maha Penyayang...