Wednesday, August 22, 2007

Mansuh Common Law -- Ketua Hakim Negara mahu perundangan lapuk Inggeris diganti


Oleh Zabry Mohamad

PETALING JAYA 21 Ogos – Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim hari ini mencadangkan rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara ini kerana ia menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah.

Beliau juga menegur sesetengah pengamal undang-undang yang terus mengguna pakai Common Law Inggeris dalam kes-kes perbicaraan tertentu.

Sambil menyifatkan mereka sebagai ‘katak di bawah tempurung penjajah’, Ahmad Fairuz menegaskan, gejala tersebut tidak seharusnya berlaku selepas 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.

Menurut beliau, setelah negara merdeka selama lima dekad, pakar-pakar perundangan tempatan seharusnya sudah mampu mewujudkan undang-undang yang lebih bermutu dan sesuai dengan keadaan semasa.

‘‘Sudah 50 tahun kita merdeka, sudah 50 tahun kita terlepas daripada cengkaman penjajah, tetapi Seksyen 3 dan 5 Undang-Undang Sivil 1956 masih kekal dalam perundangan kita.

‘‘Apakah ini petanda bahawa Common Law Inggeris itu adalah undang-undang yang paling baik di dunia? Apakah ini petanda bahawa pakar undang-undang kita masih di bawah tempurung penjajah?’’ soalnya.

Ahmad Fairuz berkata demikian ketika berucap merasmikan seminar mengenai pemikiran ilmiah dan sumbangan Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini.

Turut hadir ialah Pengerusi IKIM, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pengarah institut itu, Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas.

Menurut Ketua Hakim Negara, kegagalan memartabatkan perundangan sendiri seolah-olah memperlihatkan Malaysia sudah ketandusan kepakaran sehingga terpaksa meminjam daripada Common Law Inggeris sejak tahun 1957.

Katanya, di Malaysia, Common Law Inggeris masih dirujuk dalam kes-kes mahkamah jika tiada akta undang-undang tempatan yang boleh dipakai sebagaimana terkandung dalam Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956.

Seksyen 3 akta berkenaan memberi laluan kepada mahkamah negara ini untuk mengetepikan Common Law Inggeris, mengutamakannya atau mengambil kira keadaan setempat dalam membuat penghakiman.

Seksyen 5 akta yang sama membenarkan pemakaian seluruh undang-undang perdagangan yang ditadbir di England melainkan jika terdapat undang-undang tempatan.

Ahmad Fairuz memberitahu, sudah tiba masanya kedua-dua seksyen tersebut dipinda dengan memansuhkan semua rujukan kepada Common Law Inggeris dan undang-undang serta kaedah-kaedah ekuiti yang ditadbirkan di England.

Sebagai ganti, menurut beliau, pengamal undang-undang mungkin boleh merujuk kepada keputusan-keputusan mahkamah di negara ini yang mengikut undang-undang tempatan dan memberi keutamaan kepada keadaan di negeri-negeri di Malaysia.

Dalam hubungan ini, beliau mahu pakar undang-undang di Malaysia bersepakat sama ada mahu meneruskan amalan merujuk kepada Common Law.

Jika sebaliknya, tegas beliau, pendekatan baru perlu diambil bagi menggantikan Common Law Inggeris yang dilihat sudah sebati dalam perundangan negara.

Beliau menambah, mungkin juga sudah tiba masanya untuk memartabatkan undang-undang Islam bukan sahaja dalam perundangan negara tetapi juga perundangan antarabangsa.

Sekiranya idea itu diterima, jelas beliau, sudah pasti keharmonian undang-undang sivil dan undang-undang syariah dapat dicetuskan sehingga memberi impak maksimum kepada masyarakat.

Pada majlis itu, Ahmad Fairuz turut melancarkan buku berjudul Permata Pengislahan Perundangan Islam yang merupakan biografi Allahyarham Ahmad Ibrahim.

Ahmad Ibrahim ialah tokoh perundangan yang banyak menyumbang kepada pembangunan perundangan di negara ini khususnya undang-undang Islam.

Beliau merupakan salah seorang peguam dalam perbicaraan kes Natrah, wanita keturunan Belanda yang dibela oleh keluarga Islam dan kemudian dituntut semula oleh keluarga asalnya. Perbicaraan kes Natrah mencetuskan rusuhan di Singapura pada tahun 1950.

Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 82 tahun pada 17 April 1999 merupakan profesor undang-undang di Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sumber: Utusan Malaysia (Muka Hadapan, 22 Ogos 2007)

Thursday, August 09, 2007

Kuliah Sirah Online




Assalamualaikum

InshaaAllah kuliah sirah online akan disambung pada hari sabtu
(11/08/2007) jam 6.30 pg waktu Malaysia. Yahoo ID: harne2. Harap dapat dipanjangkan
maklumat ini kepada rakan-rakan lain. Sekian, terima kasih.

My Fear



Saya takut...


Kenapa saya takut? Apa yang saya takutkan?


Sepanjang hari ini saya rasa takut, terutama setelah tamat ujian bagi subjek Materials & Metallurgical Engineering. Saya takut tidak dapat menjawab dengan baik. Saya mula bertanya pada diri, itu sahajakah kemampuan saya untuk menjawab soalan, setelah semua
lecture slide saya hafal berhari-hari lamanya? Saya takut akan tekanan semasa peperiksaan. Saya pun pelik, mengapa harus rasa begitu....sedangkan hidup sebagai seorang pelajar Mechanical Engineering adalah sebati dengan ujian yang begitu tinggi kekerapannya. Mungkin kerana saya seorang sahaja pelajar Melayu yang mengambil subjek itu. Rasa keseorangan memang tidak dapat dielakkan. Namun apa boleh buat, hidup ini tidak banyak pilihan. ...Mungkin, saya masih merasai penangan peperiksaan akhir semester yang lalu? Entahlah...yang pastinya, hati saya tidak tenteram...Saya ingin memperbaiki prestasi akademik, semuanya untuk ibu dan abah...tetapi tidak dinafikan, masih juga terasa sukarnya...Terkadang, yang lebih susah itulah terlebih aula dan baik untuk kita. Siapa tahu, berkat kesungguhan di dalam subjek ini, bakal membolehkan saya untuk mengambil pHD suatu hari nanti?

Saya juga takut kerana kedudukan kewangan saya agak tidak stabil kala ini..Fikiran jadi runsing tiap kali hal ini datang menjengah benak minda saya. Saya mahu menyelesaikannya secepat mungkin, tetapi masih belum terbuka lagi jalannya. Lantas saya teringat sebuah doa:
" Ya Allah, seandainya ada rezeki untuk ku di langit, maka Kau turunkanlah, seandainya di dalam bumi, maka keluarkanlah, seandainya ia jauh, maka dekatkanlah, seandainya sedikit, perbanyakkanlah, dan seandainya ia haram, maka Kau jadikanlah ia dari sumber yang halal..."

Saya juga takut kerana Islam Awareness Week akan bermula minggu hadapan, dan persiapannya masih belum lagi selesai. Puas sudah dipanjangkan iklannya, tetapi yang menunjukkan muka untuk membantu, hanya beberapa kerat sahaja. Mungkin 'kerja' saya yang masih belum sempurna, saya berkira-kira. Tetapi saya pohon, semoga Allah mempermudahkan urusan kami untuk menyampaikan Islam di sini.

Banyak lagi yang saya takutkan...tetapi apabila direnung kembali, saya tidak seharusnya takut sepertimana yang saya rasakan sekarang. Kerana takut seperti ini akan membawa kepada kesedihan dan rasa lemah. Saya yakin segala-galanya punya jalan keluar, cuma jauh atau dekat. Bila hidup terasa sukar, lihatlah ia dari sudut pandangan Pencipta. InshaaAllah kita akan mendapati ia ibarat suatu lukisan indah dari Tuhan buat hamban-Nya yang tercinta.
" Ya Allah, Kau permudahkanlah urusan kami. Lihatlah kami dengan pandangan rahmat-Mu. Moga ia jadi azimat yang memberi kekuatan untuk terus berjuang...."

Dan kala ini, saya masih mampu tersenyum di sebalik ketakutan dek ujian yang menimpa, kerana saya percaya, segalanya adalah tarbiyah Allah untuk menambah rasa iman dalam diri hamba-Nya. Pada-Nya juga saya berserah, kerana takut dan harap saya hanyalah untuk Allah, Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Monday, August 06, 2007

Hidup yang Indah..

Lama sungguh saya tidak menulis di sini...Maaf, bukan kerana malas atau tiada masa, cumanya terlalu banyak perkara yang berlaku, yang sedikit sebanyak mengubah hidup saya dewasa ini.

"Bang cik, semua yang berlaku tu ade hikmahnyer..", pesan Faten, adik saya yang bongsu. Benar seperti katanya, segala yang terjadi kebelakangan ini memberi pengajaran yang terlalu banyak untuk diri yang kerdil hina ini. Seandainya ia adalah kafarah kepada dosa yang selautan luasnya, saya redha dan menerimanya sebagai suatu 'perniagaan' yang menjanjikan keuntungan di akhirat kelak. Iman saya masih terlalu rapuh untuk diuji dengan sesuatu yang berat. Tetapi, saya yakin, Allah maha mengetahui kemampuan diri dan hati. Dia tidak pernah menzalimi, apa lagi menganiayai.

Mujurlah di sana ada mereka yang memahami dan memberi semangat dan dorongan tanpa jemu. Terima kasih dari hati yang paling dalam. Dan kala ini, saya amat bersyukur dikurniai keluarga juga sahabat yang bisa mengerti perit hati ini menghadapi ujian Ilahi.

Saya teringat kata kata seorang teman: "May be God wants to test me this time, to show that my life is not perfect. However, there are still plenty to be thankful for." Apabila saya membandingkan nikmat dan ujian yang menimpa diri, nescaya saya mendapati beban ujian itu umpama semangkuk air di lautan yang luas terbentang. Terlalu banyak 'blessing' yang terhijab hanya kerana saya terlalu membesarkan ujian yang mendatang. Sedangkan para nabi dan golongan terdahulu dihujani ujian dan dugaan setiap saat detik hidup mereka berlalu. Mungkin selama ini saya terlalu memanjakan diri. Saya begitu senang berada di 'comfort zone', sehingga terlupa syarat untuk berjaya adalah pada tabahnya diri menempuh kesusahan dengan penuh kesungguhan.

Begitu banyak perkara yang bermain di minda saya sekarang, dan banyak juga perkara yang ingin saya lakukan. Saya pohon, semoga Allah memberi saya sedikit lagi masa dan kesempatan untuk merealisasikan impian saya itu.

Hari ini, saya mahu menebus segala kezaliman yang saya tujukan kepada diri saya sendiri. Saya ingin kembali kepada fitrah Tuhan menciptakan diri ini. Saya tidak bisa jadi sempurna, tetapi saya tidak akan membiarkan diri jatuh ke lembah hina. Cukuplah segala simpati buat diri, kerana hidup ini tidak bisa teguh hanya dengan berbekalkan rasa simpati yang hanya akan melumpuhkan sendi kehidupan. Permata yang indah itu terbentuk daripada arang yang hitam apabila berada dalam tekanan yang amat tinggi.

Wahai Tuhan, hamba-Mu ini datang menghadap-Mu dengan penuh rasa kehambaan dan kerendahan diri. Berilah kekuatan untuk mengharugi ujian yang menghiasi hari-hari silih berganti...Amiin..