Hari ini saya mengambil kunci bilik baru di Ilam Office. Terima kasih kepada Kathy, Resident Assistant yang membantu saya mengenalpasti lokasi bilik bernombor 4 di Flat 47, Kowhai, Ilam Village. Sempat berkenalan dengan 2 orang flatmate yang kebetulan sudah pun saya kenal sebelum ini, iaitu Hassan dari Saudi dan Nicholas, orang Kuala Lumpur. Atif adalah seorang lagi rakan serumah yang berasal dari Brunei, manakala Elizabeth dan Marlot pula masing-masing berasal dari US. Lokasi bilik di tingkat tiga memberikan saya panorama indah pekan Riccarton, biarpun terpaksa membakar beberapa puluh kalori untuk sampai ke bilik itu. Apa-apa pun, Alhamdulillah, saya bersyukur. Mungkin ini caturan terbaik buat saya di sini.
Sebagai respon kepada komen yang diberikan di dalam artikel Kita mahu jadi Mukmin atau Professional?, saya suka untuk membawa satu cerita untuk renungan kita bersama. Amran (mungkin bukan nama sebenar), sedang belajar dalam jurusan Architecture di sebuah universiti terkemuka di luar negara. Beliau merupakan seorang yang begitu memahami fikrah perjuangan Islam dalam menyampaikan Dakwah ilaLLah kepada rakan-rakan sekeliling. Berlainan daripada kebanyakan generasi muda hari ini, beliau begitu tekun beribadah, bukan sahaja yang wajib, malah yang sunat juga turut disapu bersih. Setiap hari, Amran pasti mengemaskini ‘checklist’ rutin ibadahnya bagi memastikan setiap ruang aktiviti bertanda ‘right’. Sebelum tidur, tidak boleh tidak, beliau akan bermuhasabah bagi mengenalpasti apakah ibadah hari ini lebih baik dari semalam. Begitulah rutinnya sehari-hari.
Masalah
Amran juga aktif dalam berpersatuan, sebagai wadah atau platform untuk menyampaikan dakwah Islam kepada orang ramai. Begitu banyak program disusun untuk adik-adik yang baru tiba, begitu juga untuk rakan-rakan yang sudah lama di sana. Namun, beliau mendapati saban hari, program-program yang dibuatnya tidak mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Dan pada kebanyakan masa, hanya dirinya seorang sahaja yang begitu bersemangat untuk berprogram. Bukan tiada pembahagian tugas dan AJK, namun semuanya ibarat ahli kongsi lelap sahaja, sekadar memenuhi ruang carta.
Oleh kerana itu, Amran terpaksa menghabiskan banyak masa untuk mengatur program-program, bermula dari menyusun kerusi, hinggalah mengemas kembali kerusi tersebut, semuanya dilakukan olehnya. Hal ini menyebabkan beliau terpaksa mencuri masa studinya bagi memastikan segala kerja dakwah berjalan lancar.
Akibat daripada kurangnya masa mengulangkaji, kini pelajarannya semakin merosot. Dari semester ke semester, keputusannya semakin membimbangkan, sehingga beliau hampir-hampir sahaja tidak diterima untuk meneruskan ‘enrollment’ di fakultinya itu.
Penyelesaian
Menelusuri kerumitan yang dilaluinya membuatkan Amran mula tawar hati untuk aktif di dalam kerja dakwah, lantaran hasilnya tidak kemana, dan mudarat pula yang semakin banyak menimpa dirinya.
Sekiranya anda berada di tempat Amran, apakah yang anda akan lakukan?
- Tumpukan pada pelajaran dengan menangguhkan buat sementara waktu kerja-kerja dakwah.
- Tetap meneruskan kerja dakwah lantaran anda memahami bahawa dakwah itu suatu kewajipan seorang Muslim yang dikurniakan dengan kefahaman Islam.
Bagi kedua-dua jawapan, keputusan anda mungkin betul dan mungkin juga salah. Sebetulnya, tiada satu ‘skema’ jawapan yang tepat bagi menyelesaikan masalah sedemikian, Hal ini kerana ia bergantung kepada banyak faktor. Apa yang dapat kita lihat dengan mata kasar adalah ‘the presented problem’. Jika kita hanya mahu menyelesaikan masalah yang bisa dilihat sahaja, pasti akan timbul masalah lain pula; lantaran sesuatu harus dikompromi. Jika Amran menumpukan pada study, nescaya kerja dakwahnya akan terbengkalai, bimbang rutin ibadahnya yang banyak juga akan turut menerima nasib yang sama. Namun, jika diteruskan dakwah, lebih dibimbangi hal ini akan menamatkan peluangnya untuk meneruskan pengajian di universiti. Persoalan ini memerlukan kita melihatnya dari sudut pandangan yang berbeza; melihat kepada ‘the real problem’.
Niat Amran itu betul, imannya juga benar, ibadahnya juga bagus; hal ini menunjukkan beliau tidak mempunya masalah dari sudut seorang ‘mukmin’ yang mentaati Syari’atullah. Apa yang perlu dipastikan adalah beliau tidak melakukan dosa yang bisa menjadi hijab tertangguhnya pertolongan Allah. Namun di sana, kita perlu melihat dari sudut professionalism yang ada pada dirinya. Persoalan pertama, mengapa beliau mendapati kerja dakwahnya tidak mendapat sambutan? Hal ini mungkin kerana programnya tiada daya tarikan, atau mungkin juga terlalu serius lantaran hanya membincangkan ayat Al-Quran dan hadith nabi S.A.W, dan tidak lupa juga buku-buku fikrah perjuangan yang telah ditetapkan silibusnya dan wajib dikhatamkan dalam tempoh tertentu. Hal ini menyebabkan dakwahnya menjadi keras dan kaku, ibarat mahu meng’install’ perisian di dalam computer. Hakikatnya, mad’u tidak seperti itu. Mereka punya hati, perasaan dan akal fikiran yang boleh menilai menurut neraca mereka yang tersendiri. Mereka layak untuk mendapat maklumat yang adil dan benar tentang Islam. Mereka juga perlukan sentuhan yang mendidik jiwa, bukan sekadar menurut kata tanpa fikiran yang terbuka. Untuk itu, Amran perlu ‘memanusiakan’ dakwahnya, dengan mempelajari ilmu-ilmu komunikasi yang berkesan, berdakwah dengan ‘bahasa’ mereka, fleksibel dalam menggunakan bahan sebagai sumber rujukan, atau dengan kata lain, menjadi seorang pendakwah yang professional.
Hal ini tidak sampai pula menggadaikan prinsip yang dipegang. Lihat sahaja contohnya pada nabi kita sendiri; apabila ditanya tentang amalan terbaik dalam Islam, baginda akan melihat peribadi sahabat yang bertanya terlebih dahulu sebelum melontar jawapan terbaik, sesuai dengan ‘nilai’ yang ada pada sahabat itu. Itulah yang dikatakan professional. Dan professionalism ini akan membuahkan produktiviti yang tinggi, lantaran ia menepati ‘Sunnatullah’ yang juga merupakan hukum atur alam ini.
Apabila iman kita benar dan dakwah pula disampaikan dengan berkesan, inshaAllah pertolongan Allah pasti datang. Lihat sahaja pada sirah nabi semasa baginda berhijrah, berperang, bersiasah dan dalam banyak perkara, baginda bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, tetapi setiap satunya diberikan perhatian dan diatur perancangan teliti, semata-mata bagi membuahkan hasil terbaik yang bakal menguntungkan Islam. Meskipun bagida seorang nabi, baginda tidak pernah hanya berdoa mengharap pertolongan Allah, walaupun ia bisa dilakukan dengan statusnya yang tinggi itu. Dan untuk setiap tindak-tanduknya, baginda melakukannya dengan teliti dan terbaik, agar menjadi contoh realistik buat ikutan umatnya di kemudian hari.
Itu nabi. Bagaimana pula dengan kita? Saya percaya dalam hal ini, Amran masih punya banyak ruang yang boleh diperbaiki, terutama dalam arena professionalism bagi memperbaiki kerja buatnya yang sangat mulia dan tinggi nilainya di sisi Allah. Jangan salahkan dakwah, kerana dakwah harus terus berjalan. Jika tidak kita, pasti Allah akan memilih orang lain. Kesudahannya, Islam tidak rugi, tetapi kita yang rugi besar. Carilah ruang dan peluang untuk memperbaiki diri dengan merujuk pada mereka yang telah pun melalui jalan ini dengan pelbagai gaya dan cara.
Dakwah dan Jemaah
Kita tidak akan mampu berjaya seorang diri. Kita perlu kepada rakan dan sahabat. Kita perlu kepada komuniti (jemaah), lantaran lidi yang sebatang lebih mudah patah berbanding seikat yang bukan sahaja boleh dijadikan penyapu, tetapi boleh juga memukul pencuri kalau ada yang mahu pecah rumah. Dan apabila beradapan dengan fenomena kepelbagaian jemaah, kita harus berlapang dada dan ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’. Jangan cepat melatah, jangan pula mudah membenci, lantaran kita ibarat bahtera berlainan yang berlayar di lautan yang sama menuju ke destinasi yang satu. Ini juga sebahagian dari professionalism.
Kesimpulannya, kita sudah punya acuan terbaik untuk membentuk hidup, sesuai dengan panduan syariat. Sama ada kita mahu mengmbil manfaat atau hanaya mahu bersikap ‘aku tidak pedulisma’, semuanya terletak di tangan kita. Perlu kita ingat, muda bukan sekali, tetapi dua kali banyaknya. Satu di dunia, dan satu lagi di akhirat. Berusahalah mentaati syariat dan sunnatullah semasa muda di dunia ini, agar mudanya kita di akhirat nanti di dalam ketenangan syurga yang abadi…Allahumma Ameen…